Mohd Rashidi Ruslan bercakap kepada media pada operasi bersepadu Majlis Bandaraya Shah Alam di Seksyen U20, Bandar Baru Sungai Buloh, Shah Alam pada 12 Ogos 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBSA: Asri Janggut tolak tawaran tapak niaga sementara

SHAH ALAM, 12 OGOS: Pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid yang gerainya disita Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) minggu lalu pernah ditawar tapak gerai sementara.

Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan bagaimanapun berkata lelaki yang dikenali sebagai Asri Janggut menolak tawaran itu dan meneruskan perniagaan di bahu jalan.

“Tapak berkenaan di Jalan 1A/3. Perniagaannya menimbulkan isu keselamatan serta lalu lintas hingga tindakan diambil.

“Kita tidak tahu alasan beliau tolak tawaran itu,” katanya ketika ditemui di operasi bersepada antara MBSA, polis, Jabatan Imigresen Malaysia, Tenaga Nasional Berhad, Air Selangor Sdn Bhd dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sekitar Bandar Baru Sungai Buloh hari ini.

Mohd Asri, 42, sebelum ini mendakwa wujud beberapa premis judi serta gerai peniaga warga Indonesia keturunan Aceh yang menjual rokok seludup di sekitar Jalan Besar Bandar Baru Sungai Buloh.

Pendedahan Mohd Asri menerusi tiga siaran langsung di Facebook Hot Burger Malaysia kemudian tular di media sosial.

Mengulas lanjut, Mohd Rashidi berkata lapan peniaga yang berniaga di tapak sementara itu tidak dikenakan tindakan dalam operasi hari ini kerana mendapat kebenaran.

Tambahnya, sepanjang Januari hingga Julai lalu sebanyak 25 premis perniagaan tanpa lesen milik warga tempatan dikenakan tindakan.

“Dalam tempoh sama juga 19 premis milik warga asing disita. Tindakan mengikut Undang-undang Kecil Penjaja MBSA 2007 Peruntukan 19 iaitu meninggalkan barang niaga di tempat awam dan menjaja tanpa lesen,” katanya.


Pengarang :