Peniaga menyiapkan tempahan yang dibuat melalui PLATS dan Grab di e-dapur Bandar Utama, Damansara pada 4 Mei 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBSA bantu peniaga kecil, kecualikan bayaran lesen

SHAH ALAM, 14 OGOS: Tidak seperti tohmahan segelintir pengguna media sosial, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sering membantu peniaga kecil memajukan perniagaan mereka.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya berkata bantuan itu termasuk pengecualian bayaran lesen pada April dan Mei lalu bagi meringankan beban mereka akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Shahrin Ahmad menjelaskan susulan itu majlis berkenaan menanggung kesan kewangan lebih RM1 juta.

“MBSA tidak pernah meminggirkan peniaga kecil sebaliknya sentiasa membantu untuk meningkatkan sara hidup mereka. Justeru, pengecualian fi (bayaran) lesen diberi kepada peniaga dengan syarat mereka tidak mempunyai tunggakan sewa sehingga Februari,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata MBSA juga menyediakan ruang perniagaan antaranya kiosk, gerai, pasar malam dan medan selera yang memanfaatkan 1,173 peniaga.

Shahrin menjelaskan sebanyak 318 permit sementara juga dikeluarkan untuk menampung permintaan peniaga kecil termasuk pengusaha kendera saji.

“Bantuan diberikan kepada peniaga yang berdaftar dengan MBSA yang terjejas akibat PKP,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri juga menyediakan peruntukan RM1.5 juta untuk bantuan sekali bayar RM500 melalui pakej rangsangan ekonomi Selangor Prihatin fasa dua.


Pengarang :