Penguat kuasa memecahkan dinding premis ketika Operasi bersepadu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berikutan video tular di Sungai Buloh. Operasi bertujuan membanteras penjaja/peniaga tanpa kebenaran di Seksyen U20, Bandar Baru Sungai Buloh, Shah Alam pada 12 Ogos 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBSA roboh, sita premis niaga ingkar notis amaran

SUNGAI BULOH, 12 OGOS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan meroboh atau menyita 101 premis sekitar Bandar Baru Sungai Buloh, Seksyen U20 yang gagal mematuhi notis amaran diberikan pada Isnin dan Selasa lalu.

Timbalan Datuk Bandarnya, Mohd Rashidi Ruslan berkata tindakan itu dikenakan terhadap premis yang menambah atau mengubah suai struktur bangunan tanpa kebenaran pihaknya.

“Kita sudah beri notis 24 jam untuk pemilik premis mengembalikan bentuk asal bangunan kerana ada yang menambah sengkuap, mengubah suai dalam bangunan, binaan lantai serta menutup longkang.

“Jadi hari ini mana-mana premis yang gagal mematuhi arahan notis berkenaan, tindakan mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) akan diambil. Operasi ini berterusan sepanjang hari,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu MBSA bersama polis, Jabatan Imigresen Malaysia, Tenaga Nasional Berhad, Air Selangor Sdn Bhd dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menjalankan operasi bersepadu bagi membanteras serta menangani isu penjaja atau peniaga beroperasi tanpa kebenaran.

Mohd Rashidi berkata tindakan sama turut diambil terhadap gerai di bahu jalan yang mengakibatkan kesesakan lalu lintas serta mengundang bahaya pengguna jalan raya.

“Dalam masa sama MBSA melakukan pantauan kebersihan serta semakan lesen premis makanan dan pemeriksaan permit terhadap pekerja asing,” katanya.


Pengarang :