Haris memasang bendera pada kenderaan sebagai simbolik perasmian Kempen Kibarkan Jalur Gemilang MBSA 2020 di Dataran Shah Alam, semalam.
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBSA seru pasang Jalur Gemilang bermula 16 Ogos

SHAH ALAM, 7 OGOS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyeru pemilik premis perniagaan, sekolah, kawasan perumahan, bangunan kerajaan dan swasta memasang Jalur Gemilang bermula 16 Ogos ini sempena sambutan bulan kemerdekaan.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya berkata ia bertujuan memupuk semangat patriotik dan cintakan negara dalam kalangan warga kerja dan komuniti.

“Orang ramai dilarang menggunakan bendera yang lusuh dan koyak bagi menerapkan rasa bangga dan cintakan negara,” kata Shahrin Ahmad dalam kenyataan.

Shahrin berkata, bagi menyemarakkan sambutan kemerdekaan kali ke-63, MBSA turut melancarkan Kempen Kibarkan Jalur Gemilang 2020 dengan memasang bendera pada 30 kenderaan milik majlis dan pelbagai agensi.

Ia termasuk Jabatan Kerja Raya Selangor, Jabatan Pengairan dan Saliran, Tourism Selangor, Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara Selangor, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Hospital Shah Alam dan Bomba Selangor.

Kempen berkenaan dirasmikan Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Haris Kasim di Dataran Shah Alam, Seksyen 14, di sini, semalam.


Pengarang :