Penguat kuasa menyita peralatan snuker ketika operasi bersepadu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Sungai Buloh pada 12 Ogos 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MBSA susun semula penjaja, peniaga kecil Bandar Baru Sungai Buloh

SHAH ALAM, 14 OGOS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan menyusun semula penjaja dan peniaga kecil sekitar Bandar Baru Sungai Buloh selepas operasi besar-besaran 12 Ogos lalu.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu membuka kaunter permit sementara dan permohonan kelulusan berkaitan premis niaga selama dua hari bermula esok di Dewan Meranti di kawasan tersebut.

Dalam notis pemberitahuan kepada peniaga kecil dan pemilik premis yang dikeluarkan Datuk Bandar, MBSA menyediakan taklimat antara 8 pagi hingga 4 petang esok dan 8 pagi hingga tengah hari Ahad.

Taklimat tersebut termasuklah permohonan permit lesen penjaja sementara, permohonan permit ubah suai bangunan, kebenaran merancang dan kebersihan serta keselamatan makanan.

“Tuan-puan adalah dijemput untuk hadir ke program ini. MBSA akan membuka kaunter permohonan permit penjaja sementara, permohonan permit binaan bumbung sengkuap, dinding sesekat dan sebagainya,” notis itu dipetik.

Difahamkan kira-kira 80 peniaga kecil di bandar baharu itu, dalam Seksyen U20, akan mendapat manfaat daripada langkah MBSA membantu usahawan tempatan.

PBT berkenaan menjalankan operasi sita dan roboh susulan serbuan terhadap premis judi haram dan peniaga warga asing, termasuk rokok seludup, di kawasan berkenaan.

Ia juga mengeluarkan 101 notis terhadap premis yang membina struktur tambahan tanpa izin PBT berkenaan mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.


Pengarang :