Penguat kuasa memotong rantai besi yang mengikat alatan niaga di salah sebuah premis di Bukit Sentosa pada 7 Ogos 2020. Foto ihsan MDHS
PBTSELANGOR

MDHS sita barang niaga di kaki lima tanpa permit

SHAH ALAM, 10 OGOS: Majlis Daerah Hulu Selangor menyita alatan niaga tujuh kedai makan yang diletakkan di kaki lima tanpa permit sekitar Bukit Sentosa dalam operasi pada 7 Ogos lalu.

Timbalan yang dipertuanya berkata lima notis kompaun turut dikeluarkan kerana premis kotor, tiada kawalan haiwan perosak serta tidak mengenakan pakaian perlindungan diri.

“Dua premis juga diberi notis penutupan selama 14 hari kerana gagal menjaga kebersihan. Selain itu, kebanyakan kedai makan tidak menguat kuasa arahan penjarakan fizikal,” kata Awaluddin Zakaria dalam kenyataan.

Tindakan sita mengikut Seksyen 46(1)(d) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.

Op Tatacara Operasi Piawai selama dua jam itu turut mendapat kerjasama polis dan Pejabat Kesihatan Hulu Selangor.


Pengarang :