Amirudin Shari dan Juwairiya Zulkifli bersama tetamu serta kanak-kanak mengibarkan Jalur Gemilang pada Majlis Sambutan Bulan Kebangsaan 2019 DUN Bukit Melawati di padang Sekolah Kebangsaan Pasangan Kampung Kuantan, Kuala Selangor pada 13 September 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Merdeka 2020 milik bersama, semua kaum ‘perangi’ Covid-19 – MB

SHAH ALAM, 31 OGOS: Sambutan kemerdekaan ke-63 dianggap milik bersama apabila masyarakat tanpa mengira kaum berperang untuk menentang Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata petugas barisan hadapan juga dihargai pada sambutan kali ini termasuk petugas hospital, pasukan keselamatan, sukarelawan mahupun penghantar makanan yang memenuhi keperluan seharian rakyat ketika tempoh kawalan.

“Justeru, merdeka tahun ini adalah merdeka kita bersama kerana semuanya terlibat termasuk mereka yang bekerja di lapangan ataupun yang tidak kelihatan. Oleh itu marilah kita raikan merdeka tahun ini dengan semangat kita bersama,” katanya menerusi video Hari Kebangsaan ke-63 yang didedikasi khas untuk rakyat Selangor.

Pada masa sama, Amirudin berkata rakyat di negara ini mampu mengharungi pelbagai cabaran sejak awal termasuk rusuhan, cabaran ekonomi dan kali ini ‘berperang’ dengan Covid-19.

Katanya, ia adalah pengalaman baru dan pengajaran penting bahawa semangat muafakat dan perpaduan kaum menjamin kejayaan negara.

“Dengan cabaran yang kita tak pernah fikir dan jangka, kita dapat atasi kerana semua pihak sudah bekerja keras, bekerja satu sama lain menghargai dan memberikan sepenuh kerjasama bagi memastikan perang Covid-19 berjaya ditempuhi.

“Pelbagai cabaran dan rintangan yang dilalui dapat mengekalkan muafakat dan perpaduan kita di antara satu sama lain,” katanya.


Pengarang :