Selangorkini
Petugas Panorama Langkawi Sdn Bhd, Rozanis Abdullah (kiri) dan Syed Mohd Faisal Syed Sulaiman memasang Jalur Gemilang di Langkawi SkyCab lokasi wajib singgah sekiranya bercuti ke Langkawi untuk menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2020. Foto: BERNAMA
PENDAPAT RENCANA

Merdeka: Sekarang bukan zaman lima sen – Dr Lim Swee Tin

Oleh Syed Azwan Syed Ali

KUALA LUMPUR, 22 OGOS: “Zaman saya dulu, pergi ke sekolah bawa lima sen sebagai duit poket, dua sen untuk beli kuih dan tiga sen untuk minuman. Generasi sekarang, bawa RM3 hingga RM5 ke sekolah.

“Kalau hendak jelaskan mengenai kemerdekaan dulu dan sekarang, kena ada caranya. Kalau salah, tidak masuk akal (tidak boleh difahami generasi sekarang),” kata sasterawan Dr Lim Swee Tin.

Lim membuat analogi dengan cara yang lebih berkesan bagi membolehkan generasi sekarang memahami dan menghayati makna Kemerdekaan negara yang dicapai oleh nenek moyang kita sejak 63 tahun lepas.

“Kita sudah merdeka lebih 60 tahun atau enam dekad, jarak antara generasi dulu dan sekarang agak jauh. Jarak yang jauh ini menyebabkan generasi muda tidak dapat memahami perjuangan dan pengorbanan itu,” kata pencinta sastera berusia 68 tahun, yang menerbitkan ribuan karya puisi, cerpen dan novel sejak 1973.

Menurut beliau, selama ini, unsur sentimen tentang perjuangan dan pengorbanan generasi lepas sentiasa digunakan untuk memupuk semangat patriotisme dalam kalangan rakyat.

“Dulu, kita gunakan sentimen ini untuk kukuhkan patriotisme atau rasa cinta pada negara. Dulu kita benci Jepun, menentang penjajah Inggeris, kita hayati perjuangan Mat Kilau, Tok Bahaman, Tok Janggut dan ramai pejuang kemerdekaan lain.

“Dalam konteks semasa, kita boleh memperkasa semangat patriotisme itu melalui pencapaian rakyat Malaysia misalnya kejayaan Datuk Lee Chong Wei (bekas pemain nombor satu dunia) dan sebagainya.

“Kita perlu perubahan dari patriotisme bersandarkan sentimen kepada pencapaian,” katanya sambil menyifatkan dirinya bertuah kerana antara yang melalui detik-detik awal kemerdekaan negara.

Imbauan Sambutan Pada 1959

Berkongsi mengenai kemerdekaan, Lim mengimbau sambutan pada tahun 1959 (dua tahun selepas negara merdeka), ketika itu beliau berusia tujuh tahun.

“Saya masih ingat betapa gembiranya mengibarkan bendera kebangsaan ketika sambutan kemerdekaan. Di depan kami ada orang yang pegang kain rentang warna putih dengan tulisan ‘Merdeka’ di atasnya.

“Kami berarak kelililing kawasan kedai dan pasar, masa itu tiada perarakan besar-besaran seperti di Dataran Merdeka. Tapi itulah memori kemerdekaan yang masih terpahat diingatan saya,” katanya dengan bangga mengenang zaman kanak-kanak ketika tinggal di pekan Tawang, Bachok, Kelantan.

Lim berkata kemuncak memori kemerdekaannya, adalah ketika diundang mendeklamasikan puisi di Dataran Merdeka pada 1995, lokasi bendera Union Jack diturunkan dan laungan keramat ‘Merdeka’ bergema pada 31 Ogos 1957.

Anak jati Kelantan itu percaya semangat patriotisme harus dipupuk melalui medium intelektual selain mengubah penghayatan dari menggunakan sentimen kepada pencapaian rakyat Malaysia.

“Kita kena ada wacana intelektual yang berterusan dan tidak boleh ada jurang. Pemupukan semangat patriotisme tidak seharusnya bermusim,” katanya.

Perkasa Penghayatan Rukun Negara

Dalam pada itu, Lim menyambut baik usaha Kementerian Perpaduan Negara untuk memperkasakan Rukun Negara di institusi pendidikan negara.

“Sebagai warganegara kita kena faham sejarah tanah air. Pejuang terdahulu adalah nenek moyang kita. Kita harus menganggap perjuangan generasi lalu sebagai perjuangan nenek moyang kita,” tambahnya.

Lim yang juga penerima SEA Write Award 2000 iaitu anugerah tertinggi kesusasteraan dari Kerajaan Thailand berkata semua pihak perlu mempunyai sikap ‘celik akal’ kepada sejarah bangsa dan menjaga sensitiviti dengan sikap saling menghormati dan bertolak ansur.

-BERNAMA


Pengarang :