AGENDAEKONOMINASIONAL

MIDF Research semak turun unjuran KDNK Malaysia

KUALA LUMPUR, 15 OGOS: MIDF Research menyemak turun unjurannya terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia kepada paras -4.8 peratus tahun ke tahun pada 2020 daripada 4.5 peratus sebelum ini kerana impak ekonomi pada suku kedua tahun ini adalah buruk berbanding dijangkakan sebelum ini.

Dalam nota semalam, firma penyelidikan itu berkata berdasarkan perkembangan dan indikator semasa, ekonomi akan bertambah baik secara beransur-ansur kerana sentimen masih lemah berikutan ketidakpastian terhadap penularan Covid-19 dengan risiko-risiko penurunan lain muncul seperti keadaan politik, peningkatan dasar perlindungan dan ketegangan geopolitik.

“Penularan semula Covid-19 di beberapa negara telah menyebabkan mereka melaksanakan sekatan perjalanan sekali lagi. Di Malaysia, peningkatan wabak itu hanya melibatkan kes tempatan. Bagaimanapun, kebimbangan terhadap keadaan yang buruk berlaku di luar negara turut berlaku di Malaysia,” katanya.

MIDF Research berkata sempadan negara yang masih ditutup dan kadar pengangguran tinggi (yang mempengaruhi perbelanjaan swasta, pemacu ekonomi terbesar) juga menyumbang kepada semakan turun tersebut.

Bagaimanapun, ia berkata pakej rangsangan dan penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) berkemungkinan akan mengurangkan beberapa kesan buruk itu.

Bank Negara Malaysia (BNM) semalam mengumumkan bahawa KDNK Malaysia turun 17.1 peratus tahun ke tahun pada suku kedua tahun ini, jauh lebih buruk daripada jangkaan pasaran, dan kejatuhan paras terendah yang pernah dicatatkan sejak Krisis Kewangan Asia iaitu -11.2 peratus tahun ke tahun pada suku keempat tahun 1998.

BNM berkata kebanyakannya disebabkan oleh pelaksanaan sekatan perjalanan atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara dengan langkah-langkah ketat telah diambil kerana kesihatan awam dan keselamatan merupakan keutamaan.

-BERNAMA


Pengarang :