Program Penyusunan Semula Peniaga dan Penjaja Bandar Baru Sungai Buloh mendapat sambutan menggalakkan dengan 180 permit dikeluarkan pada 15 Ogos 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTPILIHAN MINGGUANSELANGOR

MPKj keluar 150 lesen sementara, bantu peniaga kecil

SHAH ALAM, 20 OGOS: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mengeluarkan 150 permit sementara bagi membantu penjaja dan peniaga kecil tidak berlesen sekitar kawasan pentadbirannya.

Pegawai Perhubungan Awamnya Kamarul Izlan Sulaiman berkata lesen yang diberikan September ini membolehkan mereka menjalankan perniagaan secara sah.

“Setakat ini tujuh lokasi dikenal pasti untuk menempatkan penjaja dan MPKj akan membuat penstrukturan semula untuk membantu mereka yang benar-benar mahu berniaga.

“Kita juga akan melancarkan pelbagai inisiatif sebagai usaha membantu golongan berpendapatan rendah pascawabak Covid-19 ini,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar menggesa Program Penyusunan Semula Peniaga Kecil dan Penjaja diperluas ke seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memudahkan golongan itu memperoleh lesen.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia susulan sambutan hangat program anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mulai 15 Ogos lalu di Bandar Baru Sungai Buloh.

Semalam, EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han mengarahkan PBT mengeluarkan lesen sementara kepada penjaja dan peniaga kecil yang berniaga di tempat selamat.

Minggu lalu, MBSA memberikan permit niaga sementara kepada 180 peniaga kecil dan penjaja manakala Majlis Perbandaran Klang semalam mengeluarkan 500 lesen sementara yang sah digunakan sehingga hujung tahun ini.


Pengarang :