Yang Dipertua MPS, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor (dua dari kanan) memasang kamera badan pada salah seorang penguat kuasa MPS selepas melancarkan penggunaan alat itu di Bilik Siantan MPS pada 28 Ogos 2020. Foto MPS
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MPS peruntuk lebih RM11,000 beli 15 unit kamera badan

SHAH ALAM, 29 OGOS: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) memperuntuk RM11,250 untuk membeli 15 unit kamera badan bagi kegunaan anggotanya ketika bertugas.

Yang Dipertuanya berkata alat itu digunakan di 10 zon penguatkuasaan membabitkan unit khas, tunda, malam, hasil serta zon Gombak, Rawang, Selayang dan Kepong.

“Harga seunit kamera badan ialah RM750 dan pemasangan alat ini bermula awal Julai lalu supaya dapat dijadikan bahan bukti sekiranya berlaku insiden tidak diingini.

“Setakat ini, kamera badan digunakan dalam operasi penguatkuasaan seperti kegiatan pembuangan sampah haram dan aktiviti perniagaan tanpa lesen terutama gerai penjaja,” kata Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor.

Beliau berkata pihaknya sedia menambah peralatan tersebut dari masa ke semasa bergantung pada keperluan anggota.

Pada 22 Jun lalu, EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han memberi tempoh sehingga hujung tahun kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) melengkapkan anggota mereka dengan kamera badan bagi meningkatkan kecekapan dan integriti terutama jika berlaku insiden luar dugaan ketika bertugas.

Selain MPS, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan Majlis Perbandaran Subang Jaya sudah menggunakan peranti tersebut.

 


Pengarang :