Selangorkini
Penguat kuasa MPS merobohkan palang penghadang yang tidak patuhi skim komuniti berpengawal dan berpagar pada 27 Ogos 2020. Foto: MPS
PBT SELANGOR

MPS sita palang penghadang tak ikut spesifikasi

SHAH ALAM, 28 OGOS: Majlis Perbandaran Selayang menyita palang penghadang tidak mengikut spesifikasi di Taman Samudera Utara dan Taman Wangsa Permai semalam.

Pengarah Jabatan Korporatnya, Mohamad Zin Masoad berkata sitaan di Jalan Samudera 7, Jalan Samudera 9 dan Jalan Wangsa 1/1 dilakukan kerana ia tidak patuhi skim komuniti berpengawal dan berpagar.

“Bagi lokasi pertama, tindakan ini dibuat kerana palang penghadang telah dirantai dan dikunci sehingga menghalang orang awam keluar masuk ke laluan tersebut.

“Manakala, bagi lokasi kedua penguat kuasa mendapati kelulusan skim komuniti berpengawal dan berpagar telah tamat tempoh. Kedua-dua operasi ini dikenakan tindakan sitaan bagi kesalahan halangan di tempat awam mengikut Seksyen 46 1(a) Akta 133,” katanya dalam kenyataan.

Mohamad Zin turut menasihatkan persatuan penduduk yang berhasrat membina palang penghadang agar memastikan permohonan dibuat mematuhi spesifikasi skim yang ditetapkan MPS.


Pengarang :