PBTSELANGOR

MPSJ: Kempen ‘Jom Kibar, Terima Kasih Malaysia’ pupuk semangat patriotik

SHAH ALAM, 4 OGOS: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menganjurkan kempen ‘Jom Kibar, Terima Kasih Malaysia’ bermula pada 1 Ogos lalu sehingga 16 September 2020 sempena sambutan kemerdekaan ke-63.

Timbalan pengarah jabatan korporat dan pengurusan strategiknya berkata kempen ini bertujuan memupuk semangat patriotik dalam kalangan komuniti sekali gus menjadi medan menzahirkan ucapan terima kasih kepada negara atas kejayaan membendung penularan Covid-19.

“Program ini juga adalah sebagai dorongan kepada seluruh komuniti MPSJ meningkatkan semangat kemerdekaan serta cintakan perbandaran di samping menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu mampan dan komuniti,” kata Azfarizal Abdul Rashid dalam kenyataan.

Azfarizal berkata kempen ini dibuka kepada dua kategori utama iaitu Jawatankuasa Penduduk (JKP) MPSJ dan Individu dengan tarikh tutup penyertaan pada 26 Ogos hadapan.

Bagi kategori JKP MPSJ, hadiah tempat pertama sebanyak RM2,000, kedua RM1,500 dan ketiga RM1,000 manakala anugerah khas juri RM500.

Sebanyak 50 hadiah cabutan bertuah bagi kategori Individu disediakan yang dianggarkan bernilai hampir RM50,000 dengan mengibarkan Jalur Gemilang bersaiz 3×6 meter.


Pengarang :