Cikgu Farah Hanim Abdul Majid memasang kod bar pada beg Qaireen Qeesya Mohd Nasir bertujuan mencatatkan kehadiran dan suhu badan murid pada hari pertama pembukaan semula sesi persekolahan bagi murid Tahun Satu hingga Empat di Sekolah Putrajaya Presint 9 (1) pada 22 Julai 2020. FOTO: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Murid sekolah rendah dibenar pakai pelindung muka sahaja

SHAH ALAM, 25 OGOS: Murid berumur 12 tahun ke bawah dibenarkan memakai pelindung muka ke sekolah tanpa perlu memakai pelitup muka, kata menteri kanan (keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan tersebut diambil bagi mengurangkan beban keluarga kurang berkemampuan, terutama yang mempunyai ramai anak.

“Saya dimaklumkan harga pelindung muka lebih murah iaitu lebih kurang RM3 hingga RM5 sekeping selain boleh diguna selama berbulan-bulan.

“Harga pelitup muka pula agak membebankan bagi keluarga berkaitan, sekiranya sekeping RM1, kalau anak lima orang kosnya sudah RM5 untuk sehari,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Ismail Sabri bagaimanapun berkata pihaknya masih menggalakkan murid memakai pelindung muka bersama pelitup muka.

“Kita juga cadangkan kepada Kementerian Kesihatan mengeluarkan garis panduan mengenai langkah membersih dan mencuci pelindung muka bagi memastikan bahan itu selamat digunakan untuk jangka masa lama,” katanya.


Pengarang :