BUDAYARENCANA

Musuh di kepalanya

Oleh Clariessa Kesulai

DIA bukan Rentap mahupun Bujang Berani yang gagah mengacukan pedang untuk mencincang dan memenggal satu-persatu kepala musuh. Namun dia gemar melihat tengkorak yang digantung berderet-deret atas tiang kayu belian sepanjang ruang rumahnya. Beberapa bekas yang dililit dengan rotan-rotan halus dan kecil muat menyimpan sampai berbelas-belas tengkorak manusia.

Dia tidak gemar akan kekejaman namun terdapat beberapa kenyataan begitu membanggakan dirinya sebagai pewaris darah da-ging seorang pahlawan. Pertama, keberanian nenek moyangnya telah mencipta satu sejarah Ngayau yang berjaya menewaskan ratusan musuh di mana kepalanya dipenggal dan disiat kulit wajahnya sehingga hancur. Kedua, sejarah itu bukan kekejaman tapi sebuah kisah perjuangan.

Seterusnya, maruah dan darjat keluarganya amat dipandang tinggi sejak dahulu. Tiada sesiapa berani mencabar mahupun mengusik keturunan mereka. Sesiapa yang pernah bertandang ke rumahnya pasti gerun melihat tengkorak-tengkorak yang digantung pada tiang ruang tamu dan pinggir-pinggir pintu kamar. Tengkorak itu lambang keberanian dan sejarah perjuangan nenek moyangnya menentang musuh. Namun, dia tahu ada mulut-mulut celupar membicarakan perihal dia dan keluarga dari belakang.

“Suamimu begitu fanatik dengan kepala manusia. Lama-kelamaan kurang waras akalnya kerana asyik berteman dengan tengkorak-tengkorak itu”.

Dia tidak berganjak atau melenting ketika menghirup secawan kopi O hidangan air tangan isterinya yang kuyu wajah menceritakan omongan saudara dan tetangga tentang dirinya. Berulang kali telinganya menyerap senda dan caci daripada mereka. Rajuk atau aduan si isteri tentang perkara serupa tidak diendah. Namun timbul satu keraguan – dia tidak pasti sejauh mana anak dan isterinya akan bertahan dengan keadaan sebegitu.

Kasih sayang serta wang ringgit hasil daripada tanaman buah lada dan cucuk tanam di kebun cukup buat menyara isteri yang sedang bunting anak kedua. Dia merupakan seorang ketua keluarga yang amat mendahulukan peninggalan keluarganya. Waktunya tidak pernah terlewat untuk diluangkan mengemas dan menggilap tengkorak-tengkorak yang diletakkan pada bekas yang mengelilingi setiap sudut ruang rumah.

Perihal hubungan dan adat budaya keluarga menjadi keutamaan dirinya sejak dahulu. Cuma dalam beberapa bulan ini kerap dia menerima kunjungan daripada Jabatan Kebudayaan Masyarakat yang tertarik untuk mengkaji dan menempatkan tengkorak-tengkorak miliknya di sebuah muzium. Isterinya berbesar hati menghidangkan ubi kayu rebus dan kopi O semasa ditemu bual beberapa pegawai yang bertanya tentang asal-usul kewujudan tengkorak peninggalan keluarga mereka.

Namun baginya, jika ditukar dengan wang ringgit dan cek berjuta-juta sekalipun dia tidak rela menyerahkan peninggalan sejarah itu dengan mudah kepada orang lain. Dia membantah sekeras-kerasnya. Malah jika terdesak, dia tidak teragak-agak untuk menggunakan kekerasan. Namun dia cepat waras mengingati bahawa sejarah nenek moyangnya dahulu bukan berasaskan kekejaman sebaliknya perihal menegakkan keadilan dalam hidup.

Disebabkan itu, si isteri menahan perasaan berbaur akibat sikap degil dan fanatik dia mempertahankan perkara yang tidak sepatutnya.

“Jangan hairan sekiranya aku turut terikut kata-kata mereka. Kalau berterusan, kehidupan kita akan sesat entah sampai bila.”

Kata-kata yang bermain di bibir isterinya sejak akhir-akhir ini walau bagaimanapun tidak mengguris langsung hatinya.

Jika mereka menganggap ia hanya sekadar tengkorak kepala yang ngeri dan menyeramkan, sebenarnya sejarah perjuangan nenek moyangnya telah terpahat lama di situ. Malah tohmahan semakin tersebar mengatakan bahawa dia ada membela hantu atau saka keluarga melalui tengkorak yang disimpan, turut tidak dipedulikannya.

Seusai dia mengadakan upacara ritual miring sebagai penyempurnaan adat agar roh tengkorak tidak mengganggu ketenteraman dan kekal menjadi kebanggaan warisan keluarga, dia tiba-tiba merasakan segala-galanya tidak lagi seperti kebiasaan selama ini dalam hubungan keluarganya.

Tergigit lidah itu memang sudah biasa dalam kehidupan rumah tangga, fikirnya.

Dia sememangnya mengenali wanita yang telah menjadi pilihan hatinya itu sejak sepuluh tahun lalu, yang amat menyokongnya dalam setiap keadaan. Waktu selepas pulang kerja dihabiskan menggilap dan menyalakan unggun api di bawah bekas tengkorak seperti biasa. Sehingga pada suatu pagi dia menyedari perut wanita yang memboyot tidak lagi menyukarkan pergerakan badannya atas ranjang malah kaos pakaian di sudut kamar telah separuh dikosongkan. Tiada kedengaran bunyi tapak kaki anak sulungnya yang berlari-lari merengek minta dibancuhkan air milo di hadapan pintu kamar.

Dia masih mampu tenang tersenyum sehinggalah ditemuinya beberapa bekas yang diperbuat daripada rotan halus turut kosong. Hampir seluruh sudut rumah diselongkarnya namun hanya tinggal sebuah tengkorak manusia dalam keadaan separuh retak atas lantai. Menggigil tangannya dan peluh mula menitis dari dahi. Perlahan-lahan dia merasakan seruan musuh pada sisa tulang tengkorak itu telah beralih ke kepalanya.


Pengarang :