Penduduk di DUN Kuala Kubu Bharu menerima topeng muka sumbangan Nadma. Foto Facebook Lee Kee Hiong
AGENDANASIONAL

Nadma belanja lebih RM381 juta bagi operasi bendung Covid-19

KUALA LUMPUR, 10 OGOS: Lebih RM381.5 juta telah dibelanjakan di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi operasi pengurusan membendung penularan Covid-19, kata Penolong Pengarah Kanan Penyelarasan Operasi Nadma Sapian Mamat..

Berikutan perbelanjaan yang signifikan itu, beliau merayu agar semua pihak mematuhi segala tatacara operasi piawai (SOP).

“Perkara yang perlu diletakkan dalam minda semua orang ialah urus bencana dan menyelamat nyawa adalah tanggungjawab semua. Namun apa yang kita lihat sekarang ini dekat lapangan adalah pematuhan SOP yang kurang.

“Kes kluster Sivagangga adalah satu contoh ketidakpatuhan SOP yang membawa kesan besar dan tidak diduga,” katanya menerusi program temu bual maya Bernama 360 baru-baru ini.

Sapian juga berkata sebanyak RM7.4 juta dibelanjakan melalui Tabung Covid-19 bagi bantuan khas untuk individu hilang pendapatan yang melibatkan 5,342 orang manakala RM550,000 bagi bantuan khas pengurusan kematian.

Tabung Covid-19 dilancarkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Mac lepas bagi memberi bantuan kewangan kepada mereka yang terjejas dengan penularan Covid-19.

Berkongsi pengalaman Nadma dalam menguruskan pandemik Covid-19 yang disifatkan sebagai sesuatu yang baharu, Sapian berkata banyak tindakan perlu diambil di luar norma pengoperasian bencana.

“Langkah terbaik dan pantas telah diambil semua agensi di peringkat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) yang mana semua agensi terlibat duduk semeja membincangkan langkah terbaik menangani Covid-19 dengan Kementerian Kesihatan sebagai agensi peneraju.

“Bila kita tengok skala (kes) semakin hari semakin meningkat, aktiviti kita pun semakin perlu dipercepatkan. Contohnya pembukaan stesen kuarantin semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Bersasar. Ia memerlukan keputusan yang tepat dan pantas.

“Perkara ini takkan berlaku jika tiada penyelarasan di peringkat pusat. Di sinilah kepentingan JPBP bersidang untuk ambil langkah terbaik,” katanya.

Sapian juga berkata perkara paling istimewa bagi Nadma dalam melaksanakan Misi Bantuan Kemanusiaan Dan Bencana Covid-19 ialah membawa pulang rakyat Malaysia di luar negara seperti Wuhan di China, Itali, Bosnia, Iran dan Indonesia.

“Dari Wuhan, kita sewa penerbangan khas dengan pasukan memakai sut PPE (peralatan perlindungan diri) dan bawa (rakyat Malaysia) balik.

“Ia adalah sesuatu yang baharu untuk semua pihak,” katanya.

Nadma ditubuhkan pada 2015 sebagai penyelaras kepada agensi kerajaan yang terlibat dengan penguatkuasaan bencana termasuk banjir.

– BERNAMA


Pengarang :