Selangorkini
Persimpangan Jalan Taman Melati ke persimpangan Plaza Tol Gombak sepanjang 2.5 kilometer dua hala serta perhubungan laluan masuk ke hub Terminal Bersepadu Gombak (TBG) dapat memberikan keselesaan kepada pengguna jalan raya dan membantu mengurangkan kesesakan khususnya di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) iaitu laluan menuju ke Plaza Tol Gombak yang merupakan pintu masuk dan keluar utama Lembah Klang ke kawasan pantai timur. Foto: BERNAMA
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Naik taraf MRR2 siap, kurangkan sesak ke pantai timur

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Kesesakan di laluan keluar masuk ke pantai timur khasnya sewaktu musim perayaan dijangka dapat dikurangkan apabila projek menaik taraf Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Persimpangan Taman Melati, Gombak kini siap sepenuhnya untuk kegunaan pengguna jalan raya bermula hari ini.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata projek bernilai RM106.83 juta itu membabitkan pelebaran laluan daripada tiga kepada lima lorong di persimpangan berkenaan.

“Pada hari biasa, laluan keluar masuk menghala ke Plaza Tol Gombak menerima jumlah kenderaan sekitar 80,000 hingga 120,000 dan ia bertambah teruk sewaktu musim balik kampung semasa perayaan sehingga mencecah 180,000 kenderaan sekali gus menyebabkan kesesakan yang agak kritikal.

“Diharap projek ini dapat memberikan manfaat kepada pengguna jalan raya dalam membantu mengurangkan kesesakan di MRR2 dan juga Terminal Bersepadu Gombak yang masih dalam pembinaan,” katanya.

Beliau berkata demikan pada sidang media selepas majlis penyerahan dan merasmikan projek menaik taraf MRR2 Persimpangan Taman Melati, Gombak di sini hari ini.

Projek menaik taraf jalan MRR2 ini telah dilaksanakan secara kontrak reka dan bina dan peruntukannya diperoleh menerusi Dana Mudahcara Kerjasama Awam Swasta (PPP) yang disalurkan oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri.

Ia dimulakan pada 13 September 2016 dan telah siap sepenuhnya pada 2 Ogos tahun lepas dengan tempoh tanggungan kecacatan adalah selama dua tahun sehingga 2 Ogos 2021.

Fadillah berkata projek itu juga bakal memudahkan laluan masuk ke pusat Terminal Bersepadu Gombak, menyuraikan kesesakan lalu lintas dan memendekkan masa perjalanan selain mewujudkan rantaian perkhidmatan awam yang lebih selesa untuk ke Lembah Klang dan pusat bandar raya.

“Dijangkakan terminal itu akan siap sepenuhnya pada April atau Mei tahun depan sebelum Aidilfitri,” katanya.

Menurut siaran media yang diedarkan, terminal ini bakal menampung perkhidmatan bas ekspres ke koridor timur dan utara serta membolehkan pengalihan lebih daripada 700 bas ekspres daripada memasuki kawasan pusat perdagangan selepas terminal ini dibuka.

-BERNAMA


Pengarang :