Sekolah KAFA Integrasi Al Jannah, Seksyen 23 ditutup pada 7 Ogos lalu.
AGENSISELANGOR

Negatif Covid-19, sekolah KAFA Al-Jannah dibuka semula

SHAH ALAM, 15 OGOS: Sekolah KAFA Integrasi Al Jannah, Seksyen 23 di sini kembali dibuka pada 13 Ogos selepas saringan ke atas individu dikait dengan kontak rapat positif Covid-19 didapati negatif.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata setakat ini pihaknya berpuas hati dengan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) pembukaan semula operasi dan berharap kes sedemikian tidak berulang.

“KAFA Integrasi telah dibenarkan dibuka serentak bersama Surau Al-Jannah pada 13 Ogos lalu. Mereka turut mematuhi dan mengikut SOP yang ditetapkan seperti sebelum ini,” kata Mohd Shahzihan Ahmad ketika dihubungi.

Surau dan sekolah terbabit diarahkan tutup serta-merta pada 7 Ogos lalu berikutan seorang jemaah surau dikesan mempunyai kontak rapat pesakit positif dari kluster Sivagangga di Napoh, Kedah.

Mohd Shahzihan dalam kenyataan sebelum ini mengingatkan jawatankuasa surau agar tidak membenarkan individu berkenaan dan ahli keluarganya hadir ke surau jika masih dalam tempoh kuarantin.

Selain itu, jawatankuasa surau dan pentadbir KAFA juga diingatkan terus mematuhi SOP ditetapkan Jais bagi memastikan pencegahan penularan wabak Covid-19.


Pengarang :