AGENDANASIONAL

Nestle tawar 500 peluang pekerjaan kepada belia tahun depan

KUALA LUMPUR, 13 OGOS: Nestlé (Malaysia) Bhd mengumumkan komitmennya untuk memberikan peluang pekerjaan kepada 500 orang belia menjelang 2021, termasuk daripada kalangan komuniti kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Syarikat itu berkata langkah tersebut merupakan sebahagian usahanya dalam menyokong kumpulan masyarakat yang terjejas akibat pandemik Covid-19 selain sejajar dengan cita-cita globalnya untuk menyediakan peluang ekonomi kepada 10 juta golongan muda menjelang 2030.

“Pengangguran belia ialah satu isu global yang kian meruncing lebih-lebih lagi ekoran kesan Covid-19.

“Di Malaysia, pengangguran belia semakin meningkat, dan laporan baru-baru ini menunjukkan satu pertiga daripada mereka yang kehilangan kerja pada 2020 adalah melibatkan golongan belia berusia di bawah 30 tahun,” menurut Nestlé dalam kenyataan hari ini.

Sebagai sebahagian usaha untuk menangani masalah ini, Nestlé beriltizam meningkatkan keupayaan belia mendapatkan kerja menerusi program Pelatih Pengurusan, Latihan Amali dan Perantis, serta pengambilan menerusi peluang pekerjaan secara langsung.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé, Juan Aranols berkata menerusi program ini, Nestlé bertekad membentuk masa depan yang lebih lestari bagi belia Malaysia dan memainkan peranan mencungkil bakat generasi akan datang negara ini.

“Selain melengkapkan belia dengan kemahiran relevan dan meningkatkan peluang mereka untuk diambil bekerja, kami juga mahu memastikan peserta, terutama mereka daripada kumpulan B40, mempunyai sumber pendapatan stabil untuk mengharungi masa-masa sukar ini,” katanya.

Nestlé berkata pihaknya juga akan terus menyediakan pengalaman praktikal menerusi acara-acara ‘kesediaan untuk bekerja’ dan meneroka lebih banyak peluang menerusi kerjasama dengan rakan niaga serta syarikat luar yang mendukung matlamat sama.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai program belia Nestlé dan cara untuk menyertainya, layari www.nestle.com.my atau http://www.facebook.com/NestleCareersMY.

– BERNAMA


Pengarang :