Kelapa sawit merupakan antara komoditi utama negara (gambar hiasan). Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDAEKONOMINASIONAL

Niaga minyak sawit mentah diunjur RM2,600-RM2,750 satu tan

KUALA LUMPUR, 16 OGOS: Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dalam julat antara RM2,600 dan RM2,750 satu tan minggu depan, kata seorang peniaga.

Pedagang minyak sawit David Ng berkata pasaran diunjurkan kekal lengang ekoran kekurangan petunjuk baharu.

“Tidak banyak pemangkin asas minggu depan yang boleh mendorong harga untuk meningkat tinggi tetapi pasaran akan memberi perhatian kepada angka eksport yang akan dikeluarkan oleh juruukur kargo pada Isnin,” kata beliau kepada Bernama.

Untuk minggu baharu berakhir, kontrak niaga hadapan MSM diniagakan kebanyakannya rendah berikutan prospek pengeluaran yang lebih tinggi untuk minggu-minggu mendatang dan aliran menurun niaga hadapan Lembaga Dagangan Chicago (CBOT) serta Bursa Komoditi Dalian.

Berdasarkan kepada perbandingan Jumaat-Khamis, kontrak niaga hadapan MSM untuk Ogos 2020 merosot RM82 kepada RM2,803 satu tan, September 2020 menyusut RM67 kepada RM2,757 satu tan, Oktober 2020 lega RM72 kepada RM2,686 satu tan dan November 2020 turun RM69 kepada RM2,647 satu tan.

Jumlah dagangan melonjak kepada 294,006 lot daripada minggu sebelumnya iaitu sebanyak 221,137 lot manakala kepentingan terbuka menokok kepada 241,736 kontrak daripada 221,137 kontrak minggu terdahulu.

Di pasaran fizikal, Selatan Ogos turun RM70 kepada RM2,720 satu tan.

-BERNAMA


Pengarang :