PBTSELANGOR

Padah buang sampah secara haram, tukang cat didenda RM1,500

SHAH ALAM, 27 OGOS: Mahkamah Majistret Telok Datok semalam mengenakan denda RM1,500 atau penjara enam hari kepada seorang tukang cat kerana membuang sampah secara haram.

Tertuduh disabit atas kesalahan membuang sampah di bawah Undang-Undang Kecil 3 (a), Undang-Undang Kecil Mencegah kekotoran MDKL 1994 apabila didapati melakukan perbuatan itu di kawasan Jalan Persiaran Mahkota, Bandar Mahkota, Banting.

Yang dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) berkata pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan individu atau mana-mana pihak melakukan kesalahan seperti itu.

“Saya berharap kes ini menjadi pengajaran kepada yang lain, MPKL akan mengambil tindakan perundangan terhadap mereka yang melakukan kesalahan sama pada masa akan datang,” kata Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim.

Penduduk Kuala Langat yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan pembuangan sampah haram boleh menghubungi pihak berkuasa tempatan itu melalui talian 03-3187 2825 atau Sistem Pengurusan Aduan Selangor (SISPAA).


Pengarang :