Pengunjung melihat lukisan Peisy Ting pada pameran solo pertamanya di Zhan Art Space, Petaling Jaya. Foto Facebook Peisy Ting
AGENDANASIONAL

Pameran lukisan solo Peisy ketengah emosi Covid-19

PETALING JAYA, 22 OGOS: Pameran seni solo Peisy Ting yang kini berlangsung menampilkan luahan emosi manusia dalam mendepani situasi pandemik Covid-19 selain kesan perintah kawalan pergerakan menerusi bentuk abstrak dan warna.

Lima hasil karyanya – When Heaven Burns, Ghost Of Time, Shadow Of Dusk, Destructed Reality dan Destructed Dream – ‘bermain’ dengan warna-warna kelam seperti campuran hitam, biru dan jingga bagi mencerminkan kesakitan, penyesalan, kegelisahan dan kehilangan akibat pandemik tersebut.

“Semua lima lukisan tersebut telah dihasilkan berdasarkan keadaan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Secara tidak langsung, ia menghancurkan kedinamikan semua benda, kerana persepsi kita mengenai realiti, harapan, impian, kepercayaan dan nilai-nilai terjejas dan menuju kehancuran, menimbulkan keraguan sama ada dunia yang telah membuatkan kita selesa, selamat dan puas akan kembali normal,” katanya kepada Bernama.

Lima lukisan abstrak itu antara 24 hasil seni Peisy yang dipamerkan pada pameran bertajuk: Transcendence – A Visual Exploration of Self di Zhan Art Space, Petaling Jaya bermula 3 Ogos hingga 27 September ini.

“Permulaan tahun ini, saya mempunyai harapan yang tinggi tetapi pandemik ini telah memusnahkan segalanya. Saya bingung, takut, cemas dan kecewa. Realiti baharu menukar kebiasaan dan kegembiraan sebelumnya sehingga kita terbiasa dengan keadaan itu dan mempersoalkan keadaan fikiran kita.

“Pameran solo saya pada mulanya dijadualkan bermula pada April tetapi ditunda kerana PKP,” katanya, dan menambah kecuali lima tersebut, lukisan lain yang dipamerkan pada pameran itu telah disiapkan dua tahun lepas.

Pelukis berbakat ini yang mempunyai Ijazah Komunikasi Visual, menggunakan kanvas dan cat akrilik sebagai medium untuk menterjemahkan pengalaman emosinya ke dalam bentuk fizikal dengan komposisi yang sederhana dan berani.

“Saya memberikan penonton pengembaraan visual pelbagai dengan menggunakan warna dan komposisi yang berani, memberikan pengalaman rasa yang meluap-luap terhadap kegembiraan dan kesedihan, kekuatan dan ketidakpastian, konflik dan kedamaian,” kata Peisy yang juga bekas pengarah seni.

“Misi saya adalah mewajarkan sesuatu yang tidak kelihatan – bertujuan menembus pemikiran bawah sedar penonton untuk mencabar emosi mereka dan bertanyakan apa yang mereka lihat, mendorong mereka melihat luar daripada karya seni dan siapa yang menghasilkannya,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :