Suasana pembelajaran di taska yang mengamal penjarakan fizikal dan mematuhi tatacara operasi piawai. Foto BERNAMA
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Pancaroba usahawan taska enam tingkat

Foto Hafiz Othman

Ketika baru memulakan perniagaan taska pada Februari 2013 di Taman Cassia Bandar Putra 2, Klang, Rahmah Safari terasa benar beliau tersalah langkah apabila menceburi bidang pendidikan kanak-kanak.

Hanya seorang murid mendaftar pada bulan pertama, cuma tiga kanak-kanak bulan berikutnya; angka itu tidak mungkin mampu menampung kos operasi. Hanya pada April dan Mei, bilangannya meningkat kepada 40 orang, jumlah yang agak memuaskan.

Namun, selepas berjaya mengharungi tahun-tahun payah, saat mahu mengembangkan taska dan baru tiga bulan berpindah ke lima tingkat sebuah bangunan di Jalan Kebun, Klang pada Januari lalu, Rahmah sekali lagi berdepan pancaroba – kali ini taska terpaksa beroperasi pada tahap minimum, dengan kos maksimum.

Perebakan Covid-19 mengakibatkan kutipan yuran yang lazimnya mencecah RM90,000 berkurangan separuh. Pada masa sama, beliau tidak boleh tidak tetap perlu membayar gaji 27 kakitangannya.

“Ibu bapa hanya membayar 50 peratus daripada yuran bulanan dan bulan berikutnya 30 peratus. Ada juga yang tidak bayar, namun saya memahami keadaan itu yang memberi kesan kepada semua,” kata Rahmah kepada SelangorKini baru-baru ini.

Namun, ibu kepada tiga anak yang juga bekas guru sekolah rendah agama berusia 44 tahun terus bersabar, kekal tenang walau fikirannya ligat mencari jalan penyelesaian.

Guru memberi tunjuk ajar kepada kanak-kanak di taska

Penjarakan fizikal

Rahmah memutuskan untuk menyewa satu lagi tingkat di bangunan sama, menjadikannya taskanya ada enam tingkat. Ini memastikan semua kanak-kanak ditempatkan dalam satu bangunan, tanpa menyukarkan mereka mematuhi tatacara operasi piawai khususnya penjarakan fizikal.

Akhirnya, mereka kembali beroperasi pada Jun lalu meskipun bilangan keseluruhan kanak-kanak tidak lagi sama, hanya separuh daripada 130 orang boleh ditampung.

“Di sebaliknya kesukaran dan kerugian ketika Perintah Kawalan Pergerakan, sebenarnya ada juga hikmah. Ia menuntut kita lebih kreatif untuk meneruskan mata pencarian dan pada masa sama memastikan keselamatan semua.

“Walaupun perlu mengeluarkan kos tambahan, tidak mengapa asalkan operasi berjalan seperti biasa dengan kapasiti penuh dan ibu bapa yakin hantar anak-anak,” katanya.

Pinjaman Hijrah

Sebenarnya, taska di Bangunan D’Kebun mungkin tidak menjadi realiti tanpa bantuan Hijrah Selangor yang meluluskan pinjaman RM50,000. Rahmah juga pernah meminta bantuan RM30,000 untuk membeli van taska.

Sebelum beliau mula menyewa di bangunan itu, Rahmah ada membuat pinjaman pada 2015 ketika mahu memajukan perniagaan dengan membuka taska di perumahan sama beliau memu-lakan operasi awal.

Itulah pertama kali Rahmah memohon bantuan Hijrah Selangor. Ketika itu, beliau kebuntuan mencari modal pusingan. Namun, jika tidak dikembangkan, Rahmah bimbang usaha kerasnya selama ini tidak ke mana-mana.

Nasibnya baik kerana Rahmah diperkenalkan dengan skim pembiayaan Hijrah Selangor. Beliau kemudian membuat pinjaman RM10,000, sekali gus menunaikan hasratnya untuk membuka cawangan kedua.

Beliau kemudian mengorak langkah lagi dengan mengendali empat taska dan pusat jagaan. Namun, Rahmah berhajat memindahkan operasi yang menempatkan semua kelas dan asrama tenaga pengajar ke satu bangunan. Itulah Bangunan D’Kebun.

Melalui bantuan Hijrah Selangor, beliau memohon pinjaman yang kemudian diluluskan tidak lama kemudian hingga membawanya ke taska enam tingkat.

Tanpa melalui pengalaman sukar ketika membangunkan taskanya, pinjamannya lulus tanpa banyak kerenah, apatah lagi setiap pinjamannya dilunasnya mengikut tempoh, tanpa sebarang kendala.


Pengarang :