Dunia kini berubah ke arah pendigitalan dan peralihan masyarakat tanpa tunai. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
PENDAPATRENCANA

Pandemik Covid-19 percepat pelaksanaan transaksi tanpa tunai

Oleh Zufazlin Baharuddin and Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 12 OGOS: Ekosistem teknologi kewangan Malaysia yang berdaya maju membolehkan pelaksanaan transaksi tanpa tunai yang lancar, sama ada e-pembayaran atau e-dompet, terutamanya apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan untuk memerangi pandemik Covid-19.

Menurut Pengurus Negara Visa Malaysia Ng Kong Boon, krisis kesihatan dan sekatan pergerakan menyebabkan pembayaran tanpa tunai meningkat hanya dalam tempoh beberapa bulan, bersamaan tiga tahun nilai pertumbuhan.

“Transaksi tanpa sentuhan bulanan meningkat empat kali ganda berbanding tiga tahun lepas dan dijangka akan terus berkembang selepas Covid-19 dan kekal sebagai kaedah pembayaran pilihan dalam masa terdekat,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Peralihan kepada transaksi tanpa tunai ternyata disokong oleh kadar penembusan telefon pintar yang tinggi di negara ini.

Indeks Kesediaan Rangkaian 2019 Forum Ekonomi Dunia meletakkan Malaysia pada kedudukan tinggi dalam kalangan 139 negara yang dikaji – mendahului Itali, China dan Chile—dan pertama dalam kalangan negara-negara sedang pesat membangun dan membangun di Asia.

Covid-19 Beri Manfaat Sektor E-Dagang Berkembang

Pengurus Negara Mastercard Malaysia dan Brunei Perry Ong berkata walaupun sebelum pandemik Covid-19, pembayaran digital telah meningkat di Malaysia.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), sebanyak 1.72 bilion transaksi e-wang bernilai RM13.9 bilion dicatatkan antara Januari dan Oktober 2019, berbanding RM11 bilion pada 2018.

Ong berkata pandemik telah meningkatkan keperluan dan pelaksanaan pembayaran digital berikutan bimbang mengenai keselamatan dan keperluan untuk mengakses barangan penting berikutan sekatan pergerakan.

Kajian Impak Mastercard, yang dijalankan pada Mei, menunjukkan Malaysia mencatatkan transaksi pembayaran tanpa tunai yang tinggi berbanding pasaran Asia Tenggara yang lain.

“Pada April 2020, jumlah pengguna Malaysia yang melakukan pembayaran tanpa tunai naik 18 peratus, dengan kad kredit dan debit menjadi penerima manfaat utama untuk trend tanpa tunai di Malaysia.

“Dalam tempoh sama, penggunaan tunai merosot dengan ketara sebanyak 64 peratus, dan jumlah mereka yang menggunakan kad kredit dan debit tanpa sentuhan, masing-masing naik 22 peratus dan 26 peratus,” kata Ong.

Penggunaan Pembayaran Secara Digital Kurangkan Kos

Ong berkata antara faedah utama pembayaran digital ialah mengurangkan kos dalam mengendalikan tunai dan ketenangan fikiran untuk pengguna dan penjual semasa mereka melakukan transaksi.

“Selain itu, ia turut meningkatkan ketelusan, dan e-pembayaran turut menyediakan akses data yang lebih baik untuk pengurusan kewangan berikutan ia membolehkan anda memantau aktiviti kewangan anda dalam masa nyata, serta penjejak pendapatan yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata e-pembayaran turut menyokong tahap keuntungan perusahaan kecil dan sederhana berikutan ia membolehkan mereka melakukan transaksi kewangan dengan pelanggan, pembekal dan kerajaan dengan cara yang lebih cepat, selamat dan menjimatkan kos.

Trend itu sejajar dengan Pelan Sektor Kewangan 2011-2020 BNM yang memperuntukkan e-pembayaran sebagai antara sembilan bidang tumpuan untuk meningkatkan kecekapan sistem pembayaran negara.

BNM berkata kajian menunjukkan peralihan daripada sistem pembayaran berasaskan kertas kepada lebih elektronik dapat menjana penjimatan tahunan sehingga satu peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Pengurangan Kos Ekonomi

Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI Shan Saeed berkata Malaysia akan terus meraih manfaat daripada e-pembayaran, dengan kerajaan dan sektor swasta memberi tumpuan kepada mempromosikan masyarakat tanpa tunai.

Beliau berkata pasaran e-dagang Malaysia akan berkembang kira-kira 10 hingga 15 peratus setahun, iaitu baik dan setara dengan pertumbuhan e-pembayaran global dan masyarakat tanpa tunai di kebanyakan negara seperti China, Singapura dan Sweden.

“Ini akan memberi manfaat kepada ramai orang, mewujudkan pekerjaan baharu dan meningkatkan produktiviti Malaysia, pada masa depan,” katanya.

Menurut Laporan Trend Pembayaran 2019 JP Morgan, pasaran e-dagang di Malaysia dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul sebanyak 24 peratus setahun.

Shan turut menjangka perkhidmatan e-pembayaran akan mengurangkan kos ekonomi.

“Kos ekonomi dijangka susut 25 hingga 30 peratus dengan Malaysia menuju ke arah masyarakat tanpa tunai dan menggunakan e-pembayaran untuk transaksi ekonomi dan kewangan,” katanya.

Selain itu, katanya dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, ekonomi akan menjadi lebih celik teknologi, meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos.

“Apabila tenaga kerja celik teknologi, ia akan meningkatkan produktiviti dan pertumbuhan KDNK pada masa sama,” katanya.

Ketelusan Dalam Pembayaran Digital

Ketua Pegawai Eksekutif Deloitte Malaysia dan ahli majlis Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia, Yee Wing Peng berkata ketelusan yang sepenuhnya dan jejak kertas digital dalam e-pembayaran memberikan kerajaan platform yang baik untuk membendung pengelakan cukai dan pengubahan wang haram.

“Pihak berkuasa akan mempunyai akses kepada data yang lebih baik mengenai tabiat perbelanjaan individu, pembayaran cukai dan pergerakan.

“Transaksi tanpa tunai akan turut meningkatkan pematuhan cukai tidak langsung, berikutan kes cukai perkhidmatan yang kurang dinyatakan sering melibatkan transaksi tunai. Misalnya, transaksi tunai yang diterima oleh restoran tertentu mungkin tidak dilaporkan,” katanya.

Yee berkata pembayaran elektronik membolehkan pengesanan perkhidmatan digital yang mudah yang tertakluk kepada cukai perkhidmatan, dan ia boleh membawa kepada pengurangan ekonomi bayangan, berdasarkan pembayaran elektronik yang dapat dikesan, berbanding transaksi tunai.

-BERNAMA


Pengarang :