Ahli Dewan Negeri Seri Setia Halimey Abu Bakar mengedarkan pelitup muka kepada pelajar Sekolah Kebangsaan Kampung Lindungan pada 22 Julai 2020. Foto Facebook Halimey Abu Bakar
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Patuh arahan pakai pelitup muka, elak bayar denda tinggi

SHAH ALAM, 3 OGOS: Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia dinasihatkan mematuhi arahan wajib memakai pelitup muka di tempat awam bagi mengelak denda yang tidak setimpal dengan harga peralatan itu.

Ahli Dewan Negerinya Halimey Abu Bakar berkata masyarakat perlu akur dengan arahan pemakaian pelitup muka yang dikuatkuasakan kerajaan dalam usaha menyekat penularan Covid-19.

“Saya menyeru kepada semua penduduk supaya patuh peraturan ini kerana nilai denda cukup tinggi dan tidak semua (penduduk) mampu bayar sekiranya dikenakan tindakan tersebut,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Bermula 1 Ogos, pemakaian pelitup muka diwajibkan semasa menggunakan pengangkutan awam dan ketika berada di kawasan sesak atau tumpuan umum.

Kompaun RM1,000 di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) boleh dikenakan terhadap individu yang didapati gagal mematuhi peraturan terbaharu itu.

Halimey berkata hampir 50 peratus pemantauan dijalankan di kawasan pentadbirannya bagi memastikan pematuhan orang ramai terhadap arahan pemakaian pelitup muka sehingga semalam.

“Setakat minggu lepas, kita sudah agihkan pelitup muka kepada pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) termasuk cecair pembasmi kuman dan pengimbas suhu. Kita juga akan cuba bantu beri pelitup muka kepada masyarakat setempat,” katanya.


Pengarang :