PBTSELANGOR

PBT buat rondaan kenal pasti perokok, peminum di taman awam

SHAH ALAM, 16 OGOS: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) melakukan rondaan berkala di sekitar taman awam bagi mengenal pasti individu yang ingkar arahan larangan merokok dan meminum arak.

Pegawai perhubungan awamnya berkata tindakan akan dikenakan kepada mereka yang melanggar undang-undang dan pihaknya akan mengenal pasti kawasan taman menjadi tumpuan pihak berkenaan.

“Setakat ini tiada tangkapan tetapi operasi dari semasa ke semasa akan dilakukan dan orang ramai boleh membuat aduan sekiranya terlihat salah laku itu,” kata Kamarul Izlan Sulaiman kepada SelangorKini.

Manakala timbalan pengarah Jabatan Korporat Majlis Perbandaran Selayang berkata pihaknya juga dalam peringkat pemantauan di semua taman awam sekitar.

“Kita mungkin memberi amaran terlebih dahulu sebelum tindakan saman dikenakan kepada pelaku,” kata Ahmad Fauzi Ishak.

Pada 14 Julai lalu, Selangor muncul negeri pertama di Malaysia menguatkuasakan perintah arahan larangan menghisap rokok, rokok elektronik dan meminum minuman keras di taman permainan serta rekreasi.

Jika didapati terdapat individu melakukan kesalahan, mereka boleh dikenakan kompaun sehingga RM1,000 mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Taman 2005 Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor.


Pengarang :