Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor Datin Seri Masdiana Muhamad berucap ketika Majlis Apresiasi Sedekad Pusat Wanita Berdaya di Shah Alam Convention Centre, Shah Alam pada 7 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Pekawanis perluas program ke daerah dan DUN, galak penyertaan bukan ahli

SHAH ALAM, 20 OGOS: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) bercadang memperluaskan program di seluruh daerah dan dewan undangan negeri (DUN) pada masa akan datang.

Yang Dipertuanya berkata seperti mana Majlis Tadabbur al-Quran hanya dilaksanakan di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar namun selepas ini bercadang menganjurkanya ke DUN.

“Cadangan ini bagi menggalakkan lebih ramai penyertaan dan tidak tertumpu dalam kalangan ahli Pekawanis sahaja. Insya-Allah bulan depan kita akan turun padang ke beberapa kawasan dan laksanakan program menarik,” kata Datin Seri Masdiana Muhamad kepada Media Selangor.

Beliau berkata Ziarah Medik turut diadakan bagi menyantuni pesakit terutamanya penghidap buah pinggang dan kanser.

“Program ini bagi menggalakkan penglibatan menyeluruh ahli malah lima biro diwujudkan iaitu Biro Perayaan dan Kebudayaan, Biro Kesihatan dan Kelestarian Alam Sekitar, Biro Pendidikan dan Kerohanian, Biro Sukan dan Rekreasi serta Biro Media,” jelasnya.

Pada 15 Ogos lalu, Pekawanis mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-12 di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar di sini dan dirasmikan Yang Amat Mulia Tengku Putri Datin Paduka Arafiah Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

Masdiana berharap ahli baharu Pekawanis dapat memberi komitmen terbaik selaras dengan moto iaitu “Sentiasa Peka dengan Kebajikan Rakyat”.


Pengarang :