Maahad Integrasi Tahfiz Selangor Kuala Langat yang terbakar jam 5.45 pagi tadi. Foto: Facebook Komuniti Kuala Langat.
AGENSISELANGOR

Tahfiz terbakar: Pelajar tingkatan empat, lima tinggal di kuarters guru

SHAH ALAM, 4 OGOS: Pelajar perempuan tingkatan empat dan lima Maahad Integrasi Tahfiz Selangor Kuala Langat (MITS) Banting yang terbakar pagi tadi akan ditempatkan di kuarters guru.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata lima unit kuarters terbabit akan dibaiki secepat mungkin bagi membolehkan pelajar mendiami dengan segera.

“Bermula 11 pagi tadi semua pelajar dibenarkan pulang sehingga dipanggil semula.

“Hanya tingkatan empat serta lima akan ditempatkan di kuarters manakala pelajar lain direhatkan sementara,” kata Mohd Shahzihan Ahmad kepada SelangorKini.

Beliau berkata pihaknya sedang mendapatkan kelengkapan katil dan tilam dari MITS Sabak Bernam dan Sepang bagi kegunaan pelajar.

“Jais sedang meneliti keperluan lain yang perlu ditambah baik sebelum pelajar dibenar mendiaminya.”

Pagi tadi, 131 pelajar maahad berkenaan selamat selepas bangunan asrama tingkat empat didiami mereka terbakar. Kejadian jam 5.45 pagi itu berlaku ketika mereka sedang bersiap untuk menunaikan solat Subuh.


Pengarang :