Gambar hiasan perbicaraan di mahkamah. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pemandu e-panggilan didenda RM16,000 hina Agong

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Seorang pemandu perkhidmatan e-panggilan didenda RM16,000 atau penjara lapan bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan membuat dan menghantar komunikasi jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di laman sosial Twitter, Mac lepas.

Hakim M M Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu ke atas Sufazrin Amin Ismail, 26, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia mengekalkan pengakuan bersalah.

Bagi setiap pertuduhan, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM4,000 atau penjara dua bulan, jika dia gagal membayar denda itu. OKS membayar denda.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, Sufazrin Amin didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menganiayai orang lain, melalui aplikasi Twitter menggunakan nama profil “Fazrin Ismail” atau “@Fazr_Ismail”.

Dia dituduh membuat empat hantaran dengan penyataan yang berbeza terhadap Yang di-Pertuan Agong antara pukul 1.56 tengah hari dan 10.29 malam, pada 23 Mac dan 25 Mac lepas.

Kesemua pautan itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Wangsa Maju, di sini, pada 7 malam, 28 Mac lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Pada 6 Ogos lepas, OKS mengaku bersalah atas semua pertuduhan itu dan hari ini ditetapkan untuk mahkamah menjatuhkan hukuman.

Pada tarikh itu, Timbalan Pendakwa Raya Julaila Jamaludin memohon hukuman berbentuk pengajaran mengambil kira hantaran OKS itu berkaitan dengan Yang di-Pertuan Agong.

Sufazrin Amin yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia berasal dari keluarga susah.

Katanya, ibunya bekerja sebagai penoreh getah dan dia juga telah dia insaf serta memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana hantarannya itu telah menimbulkan kemarahan ramai pihak.

– BERNAMA


Pengarang :