Ahli Dewan Negeri Sentosa, Dr G Gunaraj meneliti dokumen tanah yang dijadikan tapak pembuangan sampah haram.
ADNSELANGOR

Pemilik diarah bersih sampah haram, elak tanah dirampas

SHAH ALAM, 7 OGOS: Pemilik tanah diarah membersihkan sampah di kawasan Lot 10439 Jalan Sungai Jati, Klang dalam tempoh 60 hari daripada tarikh notis Pejabat Tanah, kata Ahli Dewan Negeri Sentosa.

Dr G Gunaraj berkata jika mereka gagal berbuat demikian tindakan mengikut 7B dan 8A dikenakan serta Kerajaan Negeri berhak merampas tanah terbabit bagi memastikan perkara itu tidak berulang.

“Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa melalui Pejabat Kesihatan Klang melakukan siasatan di bawah Unit Entomologi dan menyerahkan laporan awal kepada saya.

“Tindakan pemberian notis mengikut Akta 7A dikeluarkan melalui kuasa Pejabat Tanah pada 4 Ogos dan pemilik tanah harus membersihkan sampah tersebut dalam masa 60 hari dari tarikh notis,” katanya selepas melawat tapak pembuangan sampah haram di sini semalam.

Gunaraj berkata kawasan itu dijadikan tapak pembuangan sampah haram sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), selain berlaku pembakaran wayar sehingga mengeluarkan bau busuk.

Jelasnya, perkara itu juga mengundang kehadiran lalat dan pembiakan nyamuk Aedes di seluruh kawasan perumahan berhampiran.

“Walaupun Majlis Perbandaran Klang (MPK) telah menyita tapak tersebut pada 22 Julai lalu tetapi aktiviti haram ini masih dilakukan. Saya harap pemilik tanah berikan kerjasama bersihkan kawasan itu segera,” tegasnya.


Pengarang :