Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media selepas menyerahkan replika kunci Rumah Idaman Warisan di Bangunan SUK, Shah Alam pada 6 Ogos 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pemilik kilang kimia digesa patuh SOP, ambil iktibar insiden Beirut

SHAH ALAM, 6 OGOS: Pemilik kilang berasaskan kimia di negeri ini diingatkan supaya mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) semasa mengendalikan bahan itu bagi mengelak insiden tidak diingini.

Dato’ Menteri Besar berkata pengusaha perlu mengutamakan aspek keselamatan premis masing-masing tanpa bergantung kepada penguatkuasaan Kerajaan Negeri.

“Saya percaya, kesedaran pencegahan bukan hanya dibebankan kepada Kerajaan Negeri tetapi semua pemilik gudang dan kilang harus pastikan SOP dipatuhi ketika proses (pengendalian bahan kimia) di kawasan mereka,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Idaman Warisan di sini hari ini.

Beliau memberi reaksi sedemikian susulan tragedi letupan dasyat yang berlaku di ibu kota Beirut, Lubnan baru-baru ini sehingga mengakibatkan lebih 100 penduduk terkorban manakala ribuan lagi cedera.

Amirudin turut mengimbau insiden letupan dan kebakaran kilang mercun Bright Sparkler di Sungai Buloh pada 7 Mei 1991 yang mengorbankan 26 mangsa termasuk kejadian gas ammonia bocor di sebuah kilang ais di Shah Alam pada 16 Ogos 2018.

Katanya, usaha pencegahan diperketatkan dari semasa ke semasa dengan berbincang bersama EXCO bertanggungjawab jika wujud masalah.

“Sudah pasti kita lihat secara terperinci dan Unit Pengurusan Bencana Selangor paling maju malah sebahagian SOP di peringkat persekutuan atau kaedah diadaptasi oleh Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara) merupakan (SOP) yang mula-mula ditubuhkan di Selangor,” katanya lagi.


Pengarang :