Tuan Ali Tuan Dahalam, 54 sebak selepas permohonan beliau mendapatkan permit perniagaan sementara berjaya dalam program penyusunan semula peniaga dan penjaja Bandar Baru Sungai Buloh bersama Majlis Bandaraya Shah Alam di Dewan Meranti, Sungai Buloh pada 16 Ogos 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Penerima lesen niaga MBSA bersyukur, titis air mata

SHAH ALAM, 16 OGOS: Seorang peniaga sate menitiskan air mata sebaik sahaja menerima permit perniagaan sementara daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), selepas menunggu lebih tiga tahun.

Dalam nada sebak, Tuan Ali Tuan Dahalam, 54, berkata kehadirannya sekadar mencuba nasib dan terkejut dimaklumkan permohonan permitnya diluluskan.

“Sebelum ini saya berniaga tanpa lesen di merata tempat dan terima kasih kepada MBSA kerana membantu memudahkan permohonan masyarakat bawahan seperti kami.

“Kaedah MBSA ini amat sistematik dengan memberi kelulusan permit dalam tempoh dua hari sahaja,” kata pesara tentera itu kepada media selepas menghadiri Program Penyusunan Semula Peniaga dan Penjaja Bandar Baru Sungai Buloh di Dewan Meranti, Jalan 1D di sini hari ini.

Ahmad Jais Abdul Aziz, 51 menunjukkan permit sementara diperoleh beliau ketika menyertai program penyusunan semula peniaga dan penjaja Bandar Baru Sungai Buloh bersama Majlis Bandaraya Shah Alam di Dewan Meranti, Sungai Buloh pada 16 Ogos 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Perasaan terharu turut dikongsi bekas pemandu teksi, Ahmad Jais Abdul Aziz,51, yang menyifatkan pemberian permit itu umpama nyawa baharu kepada dirinya.

“Saya kehilangan sumber pendapatan sejak Mac akibat penularan Covid-19. Jika saya teruskan pekerjaan ini, pendapatan diperoleh tidak setimpal kerana kurang pelanggan terutama pelancong.

“Saya bersyukur kepada Allah kerana membantu memudahkan urusan juga kepada MBSA kerana membantu golongan peniaga,” kata peniaga air balang dan kuih.

Thayamani Mutamil Selvan, 21 menerima permit sementara yang diserahkan petugas Jabatan Perlesenan MBSA ketika program penyusunan semula peniaga dan penjaja Bandar Baru Sungai Buloh di Dewan Meranti, Sungai Buloh pada 16 Ogos 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

M Thayamani, 21, berkata selepas empat tahun berniaga nasi campur tanpa lesen, akhirnya dia menarik nafas lega apabila permohonannya diluluskan.

“Saya tidak perlu lagi berniaga dalam keadaan takut. Saya puji MBSA kerana dapat menyelesaikan isu peniaga tanpa permit dalam keadaan aman serta sistematik,” katanya.

Muhammad Hazim Suhaimi, 22, menunjukkan permit sementara diperoleh beliau ketika menyertai program penyusunan semula peniaga dan penjaja Bandar Baru Sungai Buloh bersama Majlis Bandaraya Shah Alam di Dewan Meranti, Sungai Buloh pada 16 Ogos 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Peniaga air durian belanda, Muhammad Hazim Shuhaimi, 22, berkata pendekatan MBSA mendekati golongan peniaga dan penjaja kecil wajar diteruskan dari semasa ke semasa.

“Langkah sebegini akan mengelak wujudnya peniaga tanpa lesen di bahu jalan, saya juga mencadangkan kepada MBSA membuka peluang memohon permit dalam kalangan anak muda,” katanya.

Muhammad Jamil Jasliman, 23 bersama ibu, Nofriani Nurlas, 48 menunjukkan permit sementara diperoleh mereka ketika menyertai program penyusunan semula peniaga dan penjaja Bandar Baru Sungai Buloh bersama Majlis Bandaraya Shah Alam di Dewan Meranti, Sungai Buloh pada 16 Ogos 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Bagi Muhammad Jamil Jalisman, 22, dia bersyukur kerana dapat menunaikan impian emaknya sejak sekian lama untuk memiliki lesen perniagaan sendiri.

“Sebelum ini saya dan emak menjual nasi lemak dengan menumpang gerai makan pihak lain, selepas ada lesen sah mungkin kami boleh besarkan sedikit perniagaan kami,” katanya.


Pengarang :