Jurugambar merakamkan penerbangan Airbus A320 AirAsia yang sedia mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, Sepang. Foto AFP
AGENDANASIONAL

Pengembara harus patuhi langkah pencegahan Covid-19 – AirAsia

KUALA LUMPUR, 15 OGOS: AirAsia mengingatkan pengembara untuk mematuhi langkah pencegahan penularan Covid-19 dan langkah kesihatan awam yang dipersetujui bersama oleh Malaysia dan Singapura di bawah skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL), antaranya menjalani ujian Polymerase Chain Reaction (PCR), sebelum berlepas dan selepas ketibaan.

Dalam satu kenyataan, syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata RGL membolehkan penduduk Singapura dan Malaysia melakukan perjalanan rentas sempadan bagi tempoh jangka pendek untuk tujuan perniagaan penting dan urusan rasmi antara kedua-dua negara.

“Pengembara juga diminta menyerahkan kepada pihak yang berwajib mengenai negara yang dituju, jadual perjalanan yang telah diisytiharkan terlebih dahulu dan mematuhi jadual perjalanan tersebut pada sepanjang lawatan mereka.

“RGL itu hanya untuk perjalanan antara lapangan terbang di Singapura dan Malaysia yang mempunyai laluan penerbangan tanpa henti dan pusat pemeriksaan jalan darat melalui Pusat Pemeriksaan Woodlands atau Tuas,” katanya.

AirAsia berkata semua pengembara masuk dan keluar untuk urusan perniagaan penting dan perjalanan rasmi antara Malaysia dan Singapura melalui RGL diminta untuk memeriksa kelayakan mereka dan keperluan perjalanan terlebih dahulu.

– BERNAMA


Pengarang :