Exco Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani, Tuan Ir Izham Hashim melawat pameran gerai pada Program Selangor Agro Bandar di Amerin Mall, Seri Kembangan pada 29 Ogos 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

Peniaga PKS saran anjur karnival usahawan lebih kerap

CHERAS, 30 OGOS: Peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berharap Kerajaan Negeri dengan kerjasama agensi berkaitan menganjurkan karnival usahawan dari semasa ke semasa untuk mempromosi produk tempatan.

Pengurus Hidayah Cookies, Nurul Hidayah Mohamad Sukri berkata program tersebut mewujud jaringan perniagaan lebih luas sekaligus membantu peniaga yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Nurul Hidayah Mohamad Sukri

“Saya tidak nafikan ramai pembeli membeli secara dalam talian sepanjang PKP namun masih ramai pembeli yang selesa membeli kaedah konvensional sebab mereka dapat merasa dan melihat sendiri produk,” katanya.

Pengurus produk makanan bayi Rush Baby Food Trading, Norsyzana Kadir berkata perniagaannya banyak mendapat manfaat daripada program anjuran Kerajaan Negeri dan agensi berkaitan.

Norsyzana Kadir

“Jabatan Pertanian Selangor dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) banyak membantu ketika saya mula berniaga sejak 2017 sehingga sekarang. Karnival atau program usahawan adalah tempat peniaga seperti kami bertapak serta mengembangkan perniagaan” katanya.

Pengurus Aerofarms Mohamad Asri Salleh berkata pihaknya bertindak sebagai pembekal dan perunding peralatan tanaman hidroponik.

Mohamad Asri Salleh

“Jabatan pertanian sering menjemput pihak kami menyertai program usahawan hidroponik dalam usaha menggalakkan masyarakat terutama yang tinggal di bandar mengusahakan tanaman hidroponik,” katanya.


Pengarang :