Pelitup muka diwajibkan di tempat awam bagi menangani penularan Covid-19. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Penipuan beli pelitup muka dalam talian cecah RM18 juta

KUALA LUMPUR, 17 OGOS: Penipuan pembelian pelitup muka secara dalam talian sepanjang pandemik Covid-19 mencecah kerugian RM18 juta, persidangan Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ismail Mohamed Said mengakui wujud kesukaran bagi pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membanteras jenayah dalam talian.

Ini katanya disebabkan antara lain, identiti pemanggil atau ‘scammer’ (penipu) yang tidak dapat dikenal pasti, pemanggil menggunakan nombor atau akaun telefon orang lain, selain ada antara mereka yang beroperasi di luar negara.

Untuk menangani masalah ini, katanya kerajaan telah mewujudkan satu pasukan petugas khas melibatkan kerjasama PDRM, Bank Negara, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Cyber Security dan institusi-institusi kewangan negara.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) yang ingin tahu mengenai kekangan PDRM dalam menangani jenayah ‘scammer’ dalam talian yang semakin menjadi-jadi.

Menjawab soalan Abdul Azeez mengenai jumlah kes sindiket penipuan kewangan yang bergerak aktif pada fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Ismail berkata sindiket ini dibahagi kepada lima jenis.

Beliau berkata daripada kesemua jenis itu, penipuan melalui e-dagang mencatat kes paling tinggi dengan 2,500 kes melibatkan kerugian RM17 juta sehingga 4 Ogos lepas dari tarikh PKP dikuat kuasa pada 18 Mac.

“Bagi penipuan pinjaman yang tak wujud, terdapat 1,582 kes melibatkan kerugian RM18 juta; ‘Macau Scam’ dengan 1,001 kes melibatkan kerugian RM50 juta; 481 kes ‘Love Scam’ melibatkan RM18 juta; dan tipu SMS, 91 kes melibatkan kerugian RM800,000,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) yang ingin tahu jaminan kerajaan terhadap keselamatan maklumat peribadi yang diisi secara manual di setiap premis, Ismail memberi komitmen bahawa tindakan akan diambil terhadap sebarang pencerobohan data peribadi.

Bagi aplikasi MySejahtera pula katanya, segala maklumat peribadi dilindungi di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

-BERNAMA


Pengarang :