Dr Mohd Radzi Md Jidin. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pentaksiran baharu sekolah asrama penuh diumum kelak

KUALA LUMPUR, 20 OGOS: Pentaksiran baharu ke sekolah berasrama penuh bagi murid tahun enam dan tingkatan tiga diumum dalam tempoh terdekat.

Menteri kanan (pendidikan) berkata kaedah tersebut berikutan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tahun ini, lapor Berita Harian.

“Ketika saya umum batalkan UPSR dan PT3 tahun ini, memang kita ada kaedah yang sudah dilaksanakan.

“Sejak dia (murid) masuk darjah satu pun sudah dinilai. Perkembangannya kita sudah ikut dan lihat rekod. Banyak maklumat kita boleh rujuk. Selepas sekolah dibuka dan ada proses penilaian, itu boleh diadakan dalam bilik darjah,” kata Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Beliau berkata bagi murid dan pelajar lain, kaedah Pentaksiran Bilik Darjah akan terus digunakan dan sekolah tidak berdepan masalah untuk menilai prestasi mereka.

Sementara itu, Mohd Radzi berkata Kementerian Pendidikan sedang menilai keberkesanan pemansuhan sistem peperiksaan murid tahap satu.

“Secara prinsipnya, apabila saya lihat sistem pendidikan di Australia, (murid) darjah satu dua sudah pergi tuisyen, ambil peperiksaan dan sebagainya. Ini satu keadaan yang tidak kondusif untuk perkembangan anak-anak.

“Umur terlalu muda ini ruang untuk anak-anak bina karakter. Kita tak boleh terus menekan mereka dengan peperiksaan. Sebab itu perkara ini saya sedang lihat secara menyeluruh,” katanya lagi.


Pengarang :