Sebahagian daripada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 1, Bandar Kinrara, Puchong, memakai pelitup muka sebagai langkah keselamatan pada 2 September 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Pepias: Pemberian pelitup muka ringankan beban pelajar keluarga B40

SHAH ALAM, 3 OGOS: Pemberian pelitup muka kepada pelajar sekolah oleh Kerajaan Negeri dapat mengurangkan beban keluarga berpendapatan rendah (B40) di Selangor.

Presiden Persatuan Pelajar Islam Selangor (Pepias) Ahmad Fahmi Adzha Mohd Nasarudin berkata sebelum ini, ramai ibu bapa resah ekoran terpaksa memperuntukkan kos bagi membeli alat tersebut.

“Pepias menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari atas usaha dan kesungguhan Kerajaan Selangor mengekang penularan wabak Covid-19 dalam kalangan golongan muda.

“Oleh itu, Pepias nasihatkan supaya gunakan sebaiknya pelitup muka yang diberi kerana usaha mengekang penularan wabak bukanlah usaha kerajaan semata-mata, malah tugas ini merupakan tugas bersama,” katanya dalam kenyataan.

Pada 29 Julai lalu, Kerajaan Negeri bersetuju mengedarkan pelitup muka guna semula kepada pelajar sekolah dengan keutamaan kepada mereka dari keluarga B40.

Amirudin berkata beliau menjangka lebih sejuta pelajar akan menerima manfaat berkenaan.


Pengarang :