Foto Twitter Amirudin Shari
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Perancangan rapi, tertib Rasulullah teladan buat negeri

*Perutusan Maal Hijrah 1442H oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari

Nabi Muhammad S.A.W selamanya dikenang dalam sejarah bukan semata-mata kerana berjaya mengubah iktikad dan keimanan golongan musyrikin Mekah, malahan berjaya mengubah tatanan sosial serta politik dunia.

Salah satu momen terpenting dalam sejarah Islam adalah peristiwa Maal Hijrah. Kesusahan hidup, himpitan boikot ekonomi dan tekanan politik melatari gerak kerja dakwah junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W yang akhirnya mencetuskan penghijrahan ke Kota Madinah.

Terdapat susunan perancangan strategi dan taktikal yang sangat rapi bagi mencapai objektif yang lebih besar: kelangsungan agama Islam.

Delegasi lebih awal para muslimin telah dihantar untuk menyediakan persiapan, serta mengumpul maklumat atau reconnaisance diketuai Abdullah bin Abu Bakar, putera kepada sahabat utama baginda yang setia. Pengorbanan Saidina Ali menjadi petanda simbolik peranan yang boleh dimainkan oleh anak muda dalam mana-mana pergerakan. Begitu juga kerjasama pintar bersama pihak ketiga yang neutral seperti Abdullah bin Uraiqit bagi menjamin kerahsiaan plot yang sebegitu mustahak ini.

Semua yang dinyatakan menunjukkan betapa rapinya persiapan dalam merencana ‘grand strategy’ yang akhirnya membawa kepada kemuncaknya dengan peristiwa Pembukaan Kota Mekah.

Begitulah juga iktibar yang harus direnungkan dalam kehidupan seharian kita. Tanpa perancangan dan penyelarasan, misi yang kompleks mungkin mustahil dijayakan dan membawa kegagalan.

Di Selangor, Kerajaan Negeri sebaik mungkin menggagas serta menyelaraskan perancangan dengan semua pihak dan agensi dengan rapi dan tertib. Semangat musyawwarah ini jelas nyata sewaktu koordinasi yang kompleks dan kompak diperlukan di peringkat Bilik Gerakan Covid-19 sewaktu saat awal PKP dilaksanakan. Perancangan rapi ini juga diterjemahkan tiap tahun dalam dokumen Belanjawan yang tahun ini kita bentangkan November hadapan.

Semoga Allah merahmati terus Selangor dalam pecutannya untuk berhijrah menjadi Negeri Pintar Menjelang 2025.


Pengarang :