AGENDANASIONAL

Perangkaan: Hasil sektor perkhidmatan susut pada suku kedua 2020

KUALA LUMPUR, 10 OGOS: Prestasi sektor perkhidmatan bagi suku kedua tahun 2020 merekodkan pertumbuhan negatif 24.0 peratus kepada RM335.6 bilion berbanding suku tahun yang sama tahun sebelumnya, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman dan penginapan merosot 23.7 peratus kepada RM266.5 bilion, penurunan terbesar direkodkan sejak tahun 2013.

“Ini diikuti oleh segmen maklumat dan komunikasi dan pengangkutan dan penyimpanan yang menyusut sebanyak 21.3 peratus kepada RM51.9 bilion sementara segmen kesihatan, pendidikan dan kesenian, hiburan dan rekreasi turun 41.7 peratus kepada RM9.6 bilion.

“Di samping itu, segmen profesional dan ejen hartanah juga berkurangan 20.9 peratus kepada RM7.6 bilion,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Mohd Uzir berkata jumlah hasil bagi perbandingan suku tahun telah menunjukkan penurunan sebanyak RM102.3 bilion atau 23.4 peratus kepada RM335.6 bilion.

Beliau menambah jumlah pekerja dalam sektor ini adalah seramai 3.7 juta orang, turun sebanyak 115,400 orang atau 3.1 peratus berbanding suku tahun yang sama tahun lepas.

Penurunan ini disebabkan oleh segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman dan penginapan dengan kemerosotan sebanyak 94,817 orang atau 3.4 peratus.

Bagi perbandingan suku tahun, jumlah pekerja telah berkurangan sebanyak 96,314 orang pekerja atau 2.6 peratus.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir Mahidin berkata ini adalah selari dengan penurunan dalam jumlah pekerja, gaji dan upah yang dibayar berjumlah sehingga RM23.5 bilion, susut 6.4 peratus berbanding tahun ke tahun.

Ia dipengaruhi oleh segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman dan penginapan dengan penurunan sebanyak RM516.0 juta atau 3.5 peratus.

Bagi perbandingan antara suku tahun, gaji dan upah jatuh sebanyak RM1,429.7 juta atau 5.7 peratus.

“Prestasi sektor perkhidmatan pada suku kedua 2020 menunjukkan kadar pertumbuhan yang paling rendah akibat penularan wabak Covid-19.

“Pelaksanaan pakej rangsangan dan rancangan ekonomi jangka pendek untuk mengurangkan kesan Covid-19 dijangka dapat memacu pemulihan ekonomi negara pada suku tahunan akan datang,” jelas beliau.

– BERNAMA


Pengarang :