RENCANAWAWANCARA

Perpaduan negara: ‘Genggam bara api, biar sampai menjadi arang’

Oleh Muhammad Basir bin Roslan

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Bila menyebut perpaduan dan peranan rakyat Malaysia, pastikan kita “genggam bara api, biar sampai jadi arang” !

Peribahasa yang bermaksud, “ membuat sesuatu pekerjaan yang susah, hendaklah sabar dan tabah sehingga mencapai kejayaannya ” itu amat tepat sekali dikaitkan dengan isu perpaduan di Malaysia.

Kitalah yang bertanggungjawab dan kita juga perlu berganding bahu serta memperkukuhkah semangat perpaduan yang sudah lama berakar umbi dalam kehidupan masyarakat negara ini sejak zaman nenek moyang dahulu.

Menjelang sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020 di Dataran Perdana, Putrajaya pada 28 Julai lepas.

Pada sambutan tahun 2020 ini, tema yang dipilih untuk Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia ialah “Malaysia Prihatin”.

Menurut Perdana Menteri, tema “amat bertepatan dengan aspirasi yang didukung kerajaan ini, bahawa seluruh rakyat Malaysia, sama ada penjawat awam, sektor swasta, sukarelawan NGO mahupun orang perseorangan turut bersama-sama memerangi musuh di kala ini iaitu wabak Covid-19. Manakala Prihatin menunjukkan inisiatif kerajaan yang merangkumi aspek ekonomi, kebajikan dan kelangsungan rakyat Malaysia.”

Dalam kita meraikan sambutan Bulan Kebangsaan ini, penting juga untuk kita mendokong erat kelima-lima prinsip Rukun Negara yang diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 sempena ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-13 oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin, Yang di- Pertuan Agong IV. Ia diperkenalkan berikutan peristiwa hitam, 13 Mei 1969.

Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye baru-baru ini dipetik sebagai berkata, ‘roh’ Rukun Negara yang menjadi pegangan setiap rakyat terutama di awal falsafah itu dibentuk sekitar 70-an dan awal 80-an antara resipi bagaimana keharmonian dan perpaduan negara dapat dikekalkan sehingga hari ini.

“Inilah semangat dan penjiwaan yang perlu dikembalikan untuk memastikan roh Rukun Negara tidak hilang dan terkubur dalam jiwa rakyat Malaysia terutamanya dalam kalangan generasi muda, ” kata beliau yang juga pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia.

Niat jahat

Baru-baru ini, negara digemparkan oleh isu penerbitan buku Rebirth: Reformasi, Resistance, and Hope in New Malaysia, yang gambar kulitnya didakwa menghina Jata Negara dan perkara ini tersebar luas di media sosial.

Menurut laporan akhbar, buku yang disunting oleh penulis, Kean Wong itu menggunakan visual mirip Jata Negara.

Berdasarkan gambar yang tular di media sosial dan FB, lukisan mirip Jata Negara itu memaparkan seorang kanak-kanak berbogel di atas bulan dan bintang serta imej dua ekor harimau diubah suai selain menambah bentuk seekor buaya di bahagian bawah yang biasanya tertera cogan kata Bersekutu Bertambah Mutu.

Antara peserta yang menjayakan persembahan sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan di Stadium Perpaduan Petra Jaya pada 17 September 2019. Foto BERNAMA

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed dilaporkan sebagai berkata, editor buku tersebut, lelaki warga tempatan, didapati ke luar negara sejak 21 Januari lalu, hasil semakan terhadap dokumen perjalanannya.

Persoalan yang mungkin berlegar-legar di kepala kebanyakan rakyat negara ini sudah tentu, apa muslihat penerbitan buku tersebut?

Isu-isu sensitif yang sengaja dicetuskan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sudah tentu menuntut kita untuk sama-sama berusaha untuk memperkukuhkan jalinan perpaduan antara kaum supaya tidak mudah diganggu gugat. Kita mesti menunjukkan kepada dunia luar bahawa persepsi bahawa rakyat negara ini diselubungi kebencian, adalah sama sekali tidak benar.

Kisah perpaduan rumah panjang

Generasi milenial berpandangan generasi sebelum mereka memiliki semangat perpaduan yang lemah, mungkin kerana banyak berlaku konflik perkauman, Sebenarnya, anggapan itu tidak benar.

Seperti yang dikongsikan seorang kenalan penulis, Abdul Wahab Rahim, 50, tentang kisah kehidupan beliau semasa muda di Sibu, Sarawak, sekitar 1970-1980.

Menurut beliau, perpaduan antara setiap anggota komuniti pelbagai kaum adalah kukuh kerana banyak aktiviti dilakukan secara bersama.

“Saya pernah tinggal dalam persekitaran komuniti desa berhampiran Rumah Panjang dengan pelbagai kaum, kebanyakannya kaum Melayu dan Iban. Meskipun banyak perbezaan dari segi kebudayaan, itu tidak menghalang kami daripada hidup penuh harmoni.

“Antara aktiviti popular, kegiatan sukan dan meraikan perayaan seperti Hari Raya dan Gawai Dayak, dan banyak lagi. Amat hebat sekiranya generasi muda dapat meneruskan apa yang telah kami lakukan, “ katanya dalam pertemuan di Putrajaya baru-baru ini.

Bagi beliau, kegiatan tersebut dapat dilakukan bersama kerana pendekatan inklusif sistem pendidikan kebangsaan di Sarawak, di samping persekitaran sosial yang diwarnai dengan persefahaman jitu antara kaum.

Tulang belakang

Abdul Wahab yang kini berkhidmat sebagai pengarah bahagian pengurusan bencana dan operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menjelaskan, anggota berpakaian seragam seperti APM adalah antara tulang belakang penting bagi menjamin keselamatan negara dan orang awam jangan memperlekehkan kumpulan tersebut.

“Sekiranya kita bercakap mengenai perpaduan perkauman, mereka yang berpakaian seragam sentiasa mengamalkan perpaduan sesama anggota. Sebagai contoh, jika kami mengendalikan latihan seperti Latihan Asas Sukarelawan Pertahanan Awam serta pelbagai operasi menyelamat, tidak ada yang disisihkan kerana kaum kerana ini perlu dilakukan secara bekerjasam agar kami dapat mencapai misi kami.

“Bagaimanapun, apa yang mengecewakan saya ialah meskipun kami melakukan yang terbaik, masih ada yang mengganggu anggota berpakaian seragam. Ingatlah, kami juga membuat pengorbanan untuk menjaga keselamatan orang awam. Hargailah pengorbanan kami, “ kata Abdul Wahab.

Perspektif generasi moden

Penulis juga mendapatkan pandangan Pamilia Lourdunathan, Pensyarah Psikologi, Jabatan Psikologi, Kuliah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, mengenai isu perpaduan dalam kalangan generasi moden.

“Lain generasi, lain caranya. Dalam zaman moden ini, kita tunjukkan semangat perpaduan dengan sama-sama meraikan perayaan kaum lain dan juga menggunakan platform digital

“Sebagai contoh, ketika negara berhadapan dengan pandemik Covid-19, rakyat Malaysia menunjukkan kepatuhan dengan tinggal di rumah dan menggunakan media sosial untuk berhubungan dengan orang lain. Hahstag paling popular ialah #kitajagakita untuk menunjukkan kita mengambil berat kebajikan orang lain, “ katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Mengulas tentang pentingnya menghargai semangat Rukun Negara, Pamilia berkata ia boleh digunakan untuk menjadi pedoman holistik kehidupan berharmoni di negara ini.

“Bermula dengan Kepercayaan Kepada Tuhan, diikuti Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang dan Kesopanan dan Kesusilaan.

“Saya mengambil contoh tempat kerja saya, UIAM yang mengamalkan konsep ‘Rahmatan Lil Alamin’ yang bermaksud “rahmat bagi seluruh alam”. Ini dapat membantu kita untuk berlaku baik kepada semua orang tanpa prejudis. Konsep ini amat sesuai untuk diaplikasikan di peringkat kebangsaan kerana ia meliputi semua aspek kehidupan manusia, “ jelas beliau, sambil menambah semangat kerjasama serta perpaduan antara kaum boleh menangkis sebarang cubaan untuk memecah-belahkan keharmonian yang sudah dikecapi sekian lama.

Ringan sama dijinjing, berat sama dipikul

Bak peribahasa “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”, setiap anggota masyarakat di negara ini, tanpa mengira kaum, latar belakang, kebudayaan serta agama perlu memainkan peranan untuk memastikan semangat perpaduan terus kental.

Apa yang diperlukan ialah usaha berterusan untuk menguruskan keharmonian kaum seiring dengan agenda pembangunan serta perpaduan negara yang menjadikan Malaysia dikagumi seantero dunia.

Penulis ingin berkongsi antara petikan hasil tulisan Felo Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Enizahura Abdul Aziz yang bertajuk “Mengharmonikan Hubungan Masyarakat Berbilang Bangsa di Malaysia.”

Menurut beliau, sebagai sebuah negara moden yang sedang melakar masa depan yang lebih dinamik serta berusaha untuk memposisikan diri sebagai salah sebuah negara maju, cabaran berterusan dalam arus globalisasi dan pasca kemodenan merupakan satu realiti yang harus ditangani dengan sebaik mungkin.

Ini termasuklah ancaman pelbagai krisis yang berbentuk penindasan dari segi ekonomi, politik dan sosial serta isu-isu berkaitan pencabulan hak-hak kemanusian.

Cabaran ini, sekiranya tidak diatasi dengan baik dan berhemah, akan menjadi halangan kepada proses pembinaan keharmonian dan perpaduan rakyat di negara ini.

Malaysia, kata beliau, perlu dikenali bukan hanya sebagai sebuah negara yang makmur dari segi ekonomi dan pembangunan, malahan perlu menjadi sebuah negara yang beridentitikan kepelbagaian agama, bangsa dan budaya, namun dapat bersama dalam suasana yang aman dan hamoni.

Enizahura menekankan, perpaduan nasional harus terus menjadi satu misi penting bagi negara. Ia memerlukan satu kerangka bersifat komprehensif yang akan mampu menterjemahkan sebaik mungkin wajah kerencaman masyarakat majmuk Malaysia.

“Keadilan, penerimaan dan toleransi perlu menjadi nilai-nilai asas kepada kerangka perpaduan nasional ini. Nilai-nilai ini perlu digarap dengan menjadikan Islam sebagai kayu ukur utama dalam mendukung agenda perpaduan nasional dalam konteks Malaysia. Selain daripada melihat sifat Islam itu sebagai rahmatan lil álamin iaitu rahmah bagi keseluruhan alam, ciri Islam sebagai agama yang bersifat sejagat sebenarnya amat penting dalam memastikan Islam dan umat Islam kekal menerajui usaha-usaha baik ini.

“Sejujurnya, perlu wujud kesedaran dalam kalangan masyarakat bahawa usaha membina peradaban dan mencapai status kemajuan bagi Malaysia terutamanya dalam merealisasikan agenda Kemakmuran Bersama 2030, seharusnya bertunjangkan kepada persefahaman, tolak ansur dan rasa hormat-menghormati yang tinggi dalam kalangan rakyatnya agar ia menjadi asas kukuh kepada kemajuan negara, “ tegasnya.

– BERNAMA


Pengarang :