Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan Sijil Tamat Latihan Program Penajaan Inisiatif Kemahiran Teknikal Dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) di Kolej Antarabangsa INPENS, Kuala Selangor pada 25 Ogos 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
SELANGOR

Peserta program IKTISASS laku di pasaran kerja

KUALA SELANGOR, 25 OGOS: Peserta program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) berjaya menembusi pasaran kerja selepas menamatkan latihan.

Seorang peserta dalam bidang penyaman udara, Muhammad Amirul Rafiq Azman, 20, berkata beliau berjaya mendapat pekerjaan di syarikat Daikin Malaysia sejurus tamat pengajian tahap tiga.

“Saya nampak bidang kemahiran mempunyai peluang pekerjaan lebih cerah. Kemahiran yang saya belajar di Kolej Antarabangsa INPENS (INPENS) dan industri tidak banyak beza serta lebih mudah dipraktikkan.

Muhammad Amirul Rafiq Azman ketika di temubual SelangorKini selepas menerima sijil tamat latihan Program Penajaan Inisiatif Kemahiran Teknikal Dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) di Kolej Antarabangsa INPENS, Kuala Selangor pada 25 Ogos 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Saya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri atas tajaan program IKTISASS,” katanya yang bekerja hampir sebulan di syarikat tersebut.

Bagi Muhammad Noor Amin Mohd Azizi, 21, program IKTISASS membuka peluang untuknya bekerja di Restoran Teh Tarik Corner selepas menamatkan pengajian dalam bidang penyediaan dan pembuatan makanan.

Beliau yang kini bertugas sebagai penebar roti berkata banyak teknik memasak dipelajari daripada tukang masak terkemuka sejak bekerja di situ hampir setahun.

Pelajar bidang automotif Muhammad Nur Iman Ismail, 21, pula berkata pengajian menerusi IKTISASS tidak membebankan kerana kos pengajian yang rendah.

“Saya pilih bidang automotif kerana suka kelajuan dan modifikasi selain berhasrat untuk buka bengkel sendiri serta bersaing dengan bengkel terkemuka dalam bidang sama satu hari nanti,” katanya yang kini menyambung pengajian peringkat diploma.

Hasrat berkenaan turut dikongsikan Airish Azmar Abdul Rahman yang menyimpan cita-cita bekerja di pusat servis bagi mencari pengalaman sebelum membuka bengkel sendiri.


Pengarang :