AGENDANASIONAL

Petronas Sprinta Yamaha-CKJ berusaha kembali dominasi kategori CP125

SHAH ALAM, 20 OGOS: Pasukan Petronas Sprinta Yamaha-CKJ akan berusaha mencatat keputusan positif pada pusingan kedua Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas di Litar Tangkak pada Sabtu dan Ahad ini.

Ia berikutan keputusan kurang memuaskan pasukan itu pada perlumbaan pusingan pertama bulan lalu yang sedikit menjejaskan peluang untuk mempertahankan gelaran juara keseluruhan kategori CP125.

Pengurus pasukan, Amer Saad berkata pihaknya telah mengumpul data dari perlumbaan itu yang akan digunakan sepenuhnya untuk mencatur strategi kembali ke podium.

“Untuk perlumbaan pusingan kedua di Litar Tangkak minggu ini, kami akan membuat perubahan dari segi gearbox, ekzos dan suspension supaya lebih kompetitif,” katanya dalam kenyataan.

Petronas Sprinta Yamaha CKJ Racing menurunkan tiga pelumba untuk kategori baharu CP125 – Ahmad Syukran Aizat Mohd Yusoff, Saiful Azhary Muhamad dan Awal M Al Fikri Yusni.

Antara mereka, catatan masa Ahmad Syukran Aizat selaku juara CP115 musim lalu menjadi penanda aras persediaan pasukan CKJ menghadapi cabaran kategori berkenaan.

Di pusingan pertama, catatan masa Ahmad Syukran kurang menyerlah, ketinggalan lebih kurang dua saat dari jentera terpantas dalam sesi latihan dan kelayakan.

“Pada pusingan satu di Sepang bulan lalu, jentera kami masih berada di peringkat penyelidikan dan pembangunan. Kami kekurangan beberapa data penting diperlukan untuk mencapai tahap maksima di litar besar seperti Sepang,” katanya.

Meskipun demikian, Syukran masih berjaya memulakan perlumbaan CP125 dari barisan ketiga dan menyertai kelompok pertama dalam dua pusingan terawal namun terjatuh pada pusingan ketiga dan terkeluar.


Pengarang :