Ketua Polis Perlis SAC Datuk Surina Saad dengan bantuan pegawainya melakukan pemantauan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (Temco) di Daerah Sanglang. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

PKPD bersasar di Kedah, Perlis tamat esok

SHAH ALAM, 25 OGOS: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (Temco) di Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul, Perlis serta empat mukim di Kubang Pasu dan Padang Terap, Kedah tamat esok.

Menteri kanan (kluster keselamatan) berkata keputusan itu diambil atas nasihat Kementerian Kesihatan selepas semua penduduk di kawasan tersebut disaring dan tiada kes baharu Covid-19.

“KKM telah menyaring 1,397 penduduk di Kampung Sanglang dan Kampung Tanah Timbul serta lebih 7,000 penduduk di Kubang Pasu dan Padang Terap, ” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media di Kuala Lumpur.

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri berkata KKM mengesan beberapa kes melibatkan kluster Tawar di empat daerah di Kedah.

“Bagaimanapun Temco tidak akan dilaksanakan di kawasan tersebut sebaliknya langkah pencegahan diambil menerusi kawalan pergerakan secara bersasar,” katanya.

Perintah berkenaan melibatkan empat mukim di Kubang Pasu dan Padang Terap bermula 3 Ogos dan sepatutnya tamat pada 30 Ogos manakala Temco di Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul berkuat kuasa 8 Ogos hingga 4 September.


Pengarang :