Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan ketika hadir pada majlis perjumpaan bersama pemimpin masyarakat di Dewan Hakka, Sandakan pada 30 Ogos 2020. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

PM usul bantuan JKM naik RM1,000

SANDAKAN, 30 OGOS: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengusul agar bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang pada masa ini berjumlah antara RM200 dan RM300 kepada mereka yang layak dinaikkkan ke RM1,000.

Katanya cadangan itu akan beliau kemukakan pada mesyuarat jemaah menteri minggu depan.

“Saya tahu cakap (kenyataan) saya ini mempunyai implikasi besar, tapi saya tidak peduli.

“Yang penting ialah mata pencarian rakyat di akar umbi… mereka menderita sejak sekian lama,” katanya pada majlis perjumpaan bersama pimpinan masyarakat, hari ini.

Muhyiddin berkata usaha membantu golongan itu termasuk B40 merupakan aspirasi kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinannya.

Beliau juga meluahkan rasa sedih dengan nasib golongan itu walaupun negara telah lama merdeka.

“Mereka ini manusia yang masih hidup, tetapi dengan pendapatan kecil, sukar untuk hidup.

“Kalau mereka sakit, saya tidak jamin mereka boleh hidup sejahtera,” katanya.

Muhyiddin kini dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Sabah, bermula semalam.

-BERNAMA


Pengarang :