Muhammad Suhaimi Ali, (empat, kiri), Abdul Hadi Ramli (lima, kiri) dan Firdaus Nordin (dua, kanan) bersama pegawai polis berada di lokasi mural dan potret lukisan pemimpin negara diconteng pihak tidak bertanggungjawab di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12 pada 20 Julai 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Polis guna khidmat profesional kenal pasti suspek conteng mural

SEPANG, 4 OGOS: Polis akan menggunakan khidmat profesional bagi mengenal pasti suspek yang dirakam dalam insiden menconteng mural gergasi potret beberapa pemimpin negara di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12, Shah Alam.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata kualiti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang rendah di tempat kejadian, menyukarkan pihak polis untuk mengenal pasti suspek.

Beliau berkata kes itu masih dalam siasatan, dan ia mengambil masa yang agak lama kerana rakaman CCTV di kawasan itu tidak banyak, selain keadaan persekitaran semasa insiden itu yang gelap.

“Bila kita zoom (rakaman CCTV), gambar tu pecah, jadi kita akan hantar (rakaman) kepada pihak profesional untuk mendapatkan imej yang lebih jelas,” katanya kepada media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah KLIA dan Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPK Selangor, hari ini.

Majlis hari ini menyaksikan Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPK Selangor ACP Imran Abdul Rahman kini diberi tanggungjawab menggalas jawatan Ketua Polis KLIA, manakala penyandang ACP Zulkifli Adamshah berpindah mengisi jawatan yang ditinggalkan Imran, berkuat kuasa hari ini.

Pada 20 Julai lepas, satu rakaman CCTV yang memaparkan kelibat dua wanita dipercayai dalang merosakkan mural berkenaan, menjadi tular di media sosial.

Susulan perbuatan vandalisme itu, pihak Majlis Bandaraya Shah Alam mengambil tindakan memadamkan semua mural dengan mengecat semula dinding itu.

Dalam perkembangan lain, Noor Azam berkata semalam polis Selangor mengeluarkan 29 kompaun berkaitan kegagalan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Sebanyak 18 kompaun dikeluarkan atas kesalahan tidak mematuhi penjarakan fizikal serta melakukan aktiviti terlarang, manakala 11 kompaun atas kesalahan tidak menggunakan pelitup muka di tempat tumpuan awam,” katanya.

“Antara aktiviti terlarang yang dikesan adalah seperti aktiviti di pusat hiburan, selain restoran yang tidak mematuhi SOP,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :