AGENDAJENAYAHNASIONAL

Polis lumpuh sindiket dadah di Lembah Klang, rampasan RM2.6 juta

KUALA LUMPUR, 22 OGOS: Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dan pemprosesan dadah selepas menahan tujuh lelaki termasuk seorang warganegara Iran serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM2.6 juta di sekitar Lembah Klang sejak minggu lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (Risikan dan Operasi) Bukit Aman DCP Zainudin Ahmad berkata kesemua anggota sindiket berusia 33 hingga 56 tahun itu ditahan dalam tiga serbuan berasingan sejak 14 Ogos hingga 18 Ogos lalu.

Menurutnya, polis turut merampas 42.4 kilogram (kg) dadah seperti heroin, syabu, Methamphetamine, pil ekstasi dan Ermin 5 serta bahan kimia dan peralatan memproses dadah.

“Selain dadah, polis turut merampas empat buah kereta, seutas rantai leher, seutas jam tangan mewah dan wang tunai RM6,000 dengan nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM128,500,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Beliau berkata dalam serbuan pertama, empat lelaki ditahan di sebuah rumah yang dijadikan sebagai makmal memproses dadah di Selayang Baru di sini diikuti dua lelaki termasuk warga Iran dalam serbuan kedua di kawasan sama dan seorang lagi lelaki di sekitar Lembah Klang.

Zainuddin berkata kesemua suspek itu didapati positif dadah dan kini direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurutnya, pihaknya akan terus mengesan saki baki anggota sindiket itu.

-BERNAMA


Pengarang :