Tan Sri Abdul Hamid Bador. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Polis selesai siasat kes guna Jata Negara pada pelapik kasut

KUALA LUMPUR, 7 OGOS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah menyiapkan siasatan, berhubung kes penggunaan Jata Negara pada pelapik kasut sebuah syarikat pengeluar kasut jenama, di sini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, hasil siasatan berkenaan akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara hari ini, untuk tindakan lanjut.

“Siasatan diklasifikasikan di bawah Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama 2016, kerana kesalahan mengguna lambang, nama dan rupaan gambar, dengan tidak wajar.

“Selain itu, ia juga disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya kepada Bernama selepas majlis serah terima tugas jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Pada 18 Julai lepas, polis memulakan siasatan ke atas satu paparan yang tular di media sosial, berkaitan penggunaan Jata Negara pada pelapik kasut keluaran syarikat itu di negara ini.

Sehubungan itu, Abdul Hamid berkata, syarikat pengeluar kasut jenama berkenaan telah membuat permohonan maaf secara terbuka, selain memaklumkan pihaknya telah memberhentikan pengeluaran produk tersebut serta-merta.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hamid berkata pihaknya sudah menyerahkan kertas siasatan berhubung buku bertajuk ‘Rebirth: Reformasi, Resistance dan Hope In New Malaysia’, yang memaparkan imej Jata Negara diubahsuai di bahagian muka depannya kepada Pejabat Peguam Negara dan sedang menunggu arahan lanjut.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan polis telah menyerahkan kertas siasatan kes berhubung sebuah dokumentari video berjudul ‘Locked Up In Malaysia’s Lockdown 101 East’ oleh stesen penyiaran Al Jazeera.

“Kertas siasatan telah dihantar untuk kajian lebih lanjut sebelum keputusan muktamad dibuat,” katanya.

Sebelum ini Al Jazeera menyiarkan dokumentari berdurasi 25 minit 50 saat, yang didakwa berniat memburuk-burukkan negara dengan mengecam layanan Malaysia terhadap pendatang tanpa izin, ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani penularan Covid-19.

– BERNAMA


Pengarang :