Pengusaha kedai gunting rambut perlu mematuhi SOP ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan KKM iaitu mengenakan sarung tangan, pelindung dan pelitup muka semasa memberikan perkhidmatan kepada pelanggan. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Polis tahan 28 individu gagal patuh SOP kuarantin wajib

SHAH ALAM, 2 OGOS: Polis semalam menahan 28 individu yang pulang dari luar negara kerana gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) kuarantin wajib di rumah, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tindakan diambil menerusi pemeriksaan terhadap 2,263 individu yang menjalani kuarantin berkenaan selama 14 hari di kediaman masing-masing.

“Polis bersama Kementerian Kesihatan (KKM) akan sentiasa membuat pemeriksaan dan pemantauan terhadap golongan terbabit bagi memastikan mereka mematuhi SOP,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan seramai 4,286 individu yang pulang dari 24 negara melalui pintu masuk sempadan antarabangsa menjalani kuarantin wajib setakat semalam.

Katanya, mereka ditempatkan di 16 hotel serta lima institut latihan awam di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Sarawak, Selangor dan Johor.

“Daripada jumlah itu, 13 individu dihantar ke hospital untuk menerima rawatan,” katanya.


Pengarang :