Ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya Zon 4, Kamarul Hisham Yeop Hashim menandatangani plat perasmian Pusat Peduli Kanak-kanak (PPKK) di Pangsapuri Angsana USJ 1, Subang Jaya pada 23 Ogos 2020. Foto: Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat DUN Subang Jaya
ADNSELANGOR

PPKK Subang Jaya manfaat 3,500 kanak-kanak

SUBANG JAYA, 24 OGOS: Kira-kira 3,500 kanak-kanak menerima manfaat menerusi penubuhan Pusat Peduli Kanak-kanak (PPKK) di Pangsapuri Angsana di sini, kata Ahli Dewan Negeri(ADN) Subang Jaya.

Michelle Ng Mei Sze berkata PPKK yang diselaras Pertubuhan Peduli Kanak-Kanak Subang Jaya memberi peluang kepada golongan itu menyertai aktiviti seperti kelas tuisyen, muzik, tarian dan komputer.

“Bagaimanapun, buat masa ini PPKK hanya dibuka untuk kelas tuisyen berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang mengehadkan tempoh operasi dan kanak-kanak mengikuti kelas tersebut mengikut slot ditetapkan.

“Pada masa sama, kita khuatir jika terlalu ramai dalam pusat ini dalam satu-satu masa menyebabkan penyelaras sukar menyesuaikan diri, jadi kita tidak mahu langgar tatacara operasi piawai (SOP),” katanya selepas Majlis Pelancaran PPKK semalam.

ADN Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze (dua dari kanan) ketika Majlis Pelancaran PPKK pada 23 Ogos 2020. Foto: Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat DUN Subang Jaya

Menurut Michelle pusat itu juga menyediakan khidmat kaunseling, kursus pengasuhan serta perkembangan kanak-kanak.

Mengulas perancangan masa depan, katanya, berhasrat menjadikan tempat itu sebagai Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) memandangkan ia sudah memenuhi kriteria Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM).

“Sebelum ini, kita memang mahu berdaftar di bawah PAKK namun difahamkan tiada peruntukan, jadi apabila ada masa sesuai kita akan buat permohonan sewajarnya.

“Tambahan pula, PPKK mempunyai rekod prestasi yang membuktikan jawatankuasa penyelaras daripada badan bukan kerajaan (NGO) pernah terlibat dalam aktiviti kanak-kanak.

“Malah, kita ada fasiliti yang sesuai untuk melaksanakan aktiviti kanak-kanak maka kita berharap lot ini memenuhi keperluan mereka (JKM).”


Pengarang :