Gegaran letupan kuat di kawasan pelabuhan ibu kota Lubnan pada 3 Ogos 2020 dirasai sehingga ke Cyprus yang terletak kira-kira 200 kilometer daripada lokasi kejadian. Foto: REUTERS
AGENDAGLOBAL

Presiden Lubnan: Ammonium nitrat punca letupan besar

ISTANBUL/BEIRUT, 5 OGOS: Presiden Lubnan Michel Aoun berkata ammonium nitrat sebagai punca letupan besar di Pelabuhan Beirut pada Selasa, lapor Agensi Anadolu.

Dalam tulisan di Twitter Presiden Lubnan, Aoun berkata penyimpanan 2,750 tan metrik ammonium nitrat di gudang tanpa langkah keselamatan adalah perkara yang tidak dapat diterima.

Beliau menegaskan mereka yang bertanggungjawab akan dihukum dengan cara yang paling berat.

Sementara itu, pihak berkuasa Lubnan mengisytiharkan Beirut sebagai “kawasan bencana” berikutan kejadian itu.

Majlis Pertahanan Tertinggi Lubnan mengisytiharkan darurat selama dua minggu di ibu kota itu.

Seiring dengan situasi darurat, kabinet mengambil keputusan antaranya memperuntukkan dana kepada hospital untuk menampung perbelanjaan mangsa yang cedera, membayar pampasan kepada waris mangsa terkorban dan membekalkan gandum berikutan kerosakan pada gudang gandum.

Sebuah jawatankuasa penyiasatan juga ditubuhkan yang akan menyiapkan laporan mengenai letupan itu dalam masa lima hari.

Kebakaran di gudang berisi bahan letupan di Pelabuhan Beirut itu menyebabkan letupan besar, yang meranapkan sebuah bangunan tiga tingkat dan bunyi letupan kuat didengari di seluruh bandar dan pinggir bandar.

Negara-negara jiran dan wilayah termasuk Turki mengucapkan takziah serta menghulurkan bantuan kepada Lubnan.

Presiden Donald Trump mendakwa letupan itu “kelihatan seperti serangan yang mengerikan,” yang menunjukkan ia adalah pengeboman dan bukannya kemalangan.

-BERNAMA


Pengarang :